Kertas, plastik, kaca antara barang boleh dikitar semula.
Sekiranya kita bijak mengubah bahan kitaran ini, pasti hasilnya cukup menarik dan eksklusif dan boleh dijual bagi memperoleh pendapatan sampingan.
Selalunya barangan kitar semula ini akan dibuat barang perhiasan mengikut kekreatifan seseorang individu tersebut.
Surat khabar lama misalnya mempunyai nilai komersial tersendiri untuk ditransformasi sebagai produk kraf yang mampun menjana pendapatan sampingan.
Sekiranya kita kreatif, surat khabar lama ini boleh direka menjadi bakul, pasu bunga, tudung saji, topi dan sebagainya.
DALAMI KONSEP ‘WASTE to WEALTH’
Baru-baru ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian semasa berucap pada Program InnoWaste yang diadakan Miri berkata, berdasarkan kajian Pengurusan Sisa Bersepadu Sarawak, hanya 10.6 peratus barang buangan dihantar untuk dikitar semula berbanding 89.4 peratus.
“Kita perlu mendalami konsep ‘WASTE to Wealth’ dan tidak melihat keluaran fizikal sahaja, sebaliknya lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk baharu dalam pengurusan sisa buangan sekali gus menjadikannya satu pendapatan,” katanya.
Katanya,pengurusan sisa buangan di Sarawak amat membebankan serta menelan kos yang amat tinggi.
“Kita harus bijak meneroka idea-idea baharu untuk mengurus barangan buangan menerusi aktiviti dan projek InnoWaste serta mencontohi negara Jerman dan Jepun dalam membudayakan amalan kitar semula.
BANYAKKAN PROGRAM KEPENTINGAN KITAR SEMULA
Dalam program yang sama, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datu Antonio Kahti Galis dalam ucapanya menyeru pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memperbanyakkan program kepentingan kitar semula.
“Idea kreatiif dalam mengitar semula barangan terbuang adalah satu tindakan bijak dalam menangani pencemaran alam sekitar,” katanya.
Menurut beliau , penglibatan masyarakat dalam kitar semula amat penting supaya masyarakat dapat membantu PBT dalam menangani masalah pembuangan sampah tidak terkawal seperti masalah pencemaran sungai, longkang tersumbat, masalah pembiakan nyamuk dan sebagainya.
Progam InnoWaste diadakan bersempena Minggu Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2020.
Program itu dianjurkan bersama secara kolaborasi oleh Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak dan Perkhidmatan Awam Persekutuan Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling