
MIRI: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang membuang sampah sesuka hati terus mencemarkan kawasan awam walaupun papan tanda larangan telah dipasang di lokasi berkenaan.
Tinjauan Utusan Sarawak di sebuah kawasan parkir di Pusat Komersial Centre Point di sini mendapati longgokan sampah terdiri daripada plastik, kotak, sisa makanan dan bekas minuman dibuang di tepi laluan pejalan kaki, sekali gus menimbulkan pemandangan kurang menyenangkan.
Lebih mengecewakan, lokasi itu turut mempunyai papan tanda bertulis ‘Jangan Buang Sampah Di Sini Tolong Tong Sampah Sana’, namun arahan berkenaan dipercayai tidak diendahkan pihak tertentu.
Keadaan itu bukan sahaja mencacatkan imej bandar raya, malah boleh mengundang masalah kebersihan serta menjadi tempat pembiakan serangga dan haiwan perosak jika tidak ditangani segera.
Orang ramai berharap pihak berkaitan dapat meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan terhadap individu yang membuang sampah secara haram demi memastikan kebersihan kawasan awam terus terpelihara.
Oleh Liong Chai Ling