
PETRA JAYA: Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak 2026 dijadual berlangsung pada 17 Februari ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula 10.00 pagi hingga 2.00 petang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, majlis sambutan tahunan itu akan disempurnakan dengan kehadiran Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Yang di-Pertua Negeri.
Menurut beliau, penganjuran sambutan berkenaan bukan sekadar acara perayaan, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh perpaduan serta memelihara keharmonian antara kaum di negeri ini.
Katanya, keunikan masyarakat majmuk Sarawak yang hidup dalam suasana aman dan saling menghormati perlu terus dipelihara melalui penganjuran program yang bersifat inklusif dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media berhubung penganjuran sambutan tersebut di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengajak orang ramai tanpa mengira latar belakang kaum dan agama untuk hadir memeriahkan sambutan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap semangat kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan Sarawak.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Operasi) Datu Hii Chang Kee.
Oleh Shikin Mahmud