
SARATOK: Sambutan Tahun Baharu Cina di sini tahun ini bukan sahaja menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum, malah menjadi bukti jelas kebersamaan dan perpaduan utuh rakyat Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, sambutan perayaan tersebut memperlihatkan semangat muhibah yang telah lama menjadi teras keharmonian masyarakat di negeri ini.
Menurut beliau, program kunjungan yang diteruskan bersama rombongan pada hari berkenaan melibatkan pelbagai kaum, sekali gus menunjukkan semangat perpaduan rakyat Sarawak yang semakin kukuh dari semasa ke semasa.
Beliau menegaskan, kehadiran masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa membuktikan bahawa rakyat negeri ini sentiasa mengamalkan sikap saling menghormati serta meraikan kepelbagaian budaya.


Mohamad Duri turut mengajak golongan belia di kawasan Kalaka agar bersama-sama menyaksikan dan menghayati kukuhnya perpaduan dalam kalangan pelbagai golongan umur dan kaum.
Katanya, generasi belia merupakan pewaris masa depan yang akan memastikan semangat kebersamaan ini terus dipelihara dan dikekalkan sampai bila-bila.
Tambah beliau, sambutan perayaan yang meriah seperti Tahun Baharu Cina turut menjadi medan pertemuan semula rakan dan kenalan lama dalam suasana harmoni serta penuh kemesraan.
Dalam pada itu, beliau mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina serta berharap perpaduan hidup bermasyarakat dapat terus diperkukuh.
Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026, Mohamad Duri bersama isterinya Norlida Sharkawi serta beberapa pemimpin tempatan telah mengadakan kunjungan ke rumah-rumah Ketua Masyarakat Komuniti Cina di Saratok.
Antara yang mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi; Setiausaha Kehormat PBB Kalaka, Gapor Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda, Harjam Jamain serta Pergerakan Sayap Belia PBB 1828 Cawangan Kalaka.
Rumah pertama yang dikunjungi ialah kediaman Kapitan Law Puong Hui sebelum rombongan meneruskan kunjungan ke rumah Pemanca Lim Guan Ann yang turut diserikan dengan persembahan tarian singa serta paluan gendang penuh bertenaga, melambangkan kekayaan warisan masyarakat Cina.
Semasa di kediaman Pemanca Lim Guan Ann, turut hadir memeriahkan sambutan ialah ADUN Krian, Friday Belik dan Ahli Dewan Negara, Pele Peter Tinggom, selain Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, sebelum rombongan meneruskan kunjungan ke rumah Wong Hui Ching di kawasan Malong dan seterusnya ke rumah Kapitan Gan Eng Kie.
Oleh Adi Safarman