SAMARAHAN: Majlis Sambutan Pra-Krismas 2024 anjuran Persatuan Umat Kristian Zon 3 St. Bernadette Cawangan Samarindah di sini berlangsung dengan penuh meriah.
Program yang bermula sejak 2 Disember lalu itu melabuhkan tirainya pada Sabtu dengan pelbagai aktiviti menarik.
Antara acara yang mencuri tumpuan termasuk pertandingan menghias pokok Krismas, doa kesyukuran, dan caroling lagu Krismas dari rumah ke rumah.
Aktiviti ini bukan sahaja memeriahkan suasana, malah berjaya mengeratkan hubungan antara umat Katolik St. Bernadette dengan ahli keluarga mereka, sama ada ahli lama atau baharu.
Caroling yang diketuai Ketua Zon 3, Nicholas Ungkan, menerima sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 60 keluarga setiap malam.
Program ini turut menjadi platform untuk membincangkan perkembangan persatuan dan gereja dalam kalangan ahli.
Majlis penutupan turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan menghias pokok Krismas kategori hiasan terbaik, yang menambahkan lagi kemeriahan sambutan.
Turut hadir, Ketua Zon 3 Samarindah, Nicholas Ungkan, Pengerusi Zon 3 St. Bernadette, John Empati, serta umat Katolik Zon 3 bersama keluarga mereka.