Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sambutan Maulidur Rasul teguhkan kecintaan kepada Rasulullah SAW
  • TEMPATAN

Sambutan Maulidur Rasul teguhkan kecintaan kepada Rasulullah SAW

Utusan Sarawak 2 days ago
MERIAH… Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menghadiri majlis Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak 1447H/2025M di Padang Merdeka, Kuching, pagi tadi.

KUCHING: Sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya manifestasi kecintaan umat Islam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, sambutan kali ini cukup istimewa kerana bersempena ulang tahun ke-70 penubuhan Majlis Islam Sarawak (MIS) yang terus berperanan memperkukuh pengurusan hal ehwal Islam di negeri ini.

“Sejak ditubuhkan secara rasmi pada 1955, MIS telah berusaha menggemilangkan ummah dengan pentadbiran Islam yang progresif, berwibawa dan berlandaskan syarak.

ANTARA kontinjen yang menyertai perhimpunan dan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul.

“Sempena ulang tahun ke-70 ini, penganjuran sambutan Maulidur Rasul adalah tanda penghargaan dan muhasabah terhadap pencapaian MIS,” katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul 1447 Hijri di Padang Merdeka, di sini hari ini.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi atas kesudian hadir pada majlis mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan hal ehwal Islam di negeri ini.

Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan berterusan dalam penganjuran sambutan Maulidur Rasul serta usaha memartabatkan pembangunan Islam di Sarawak.

KONTINJEN berkumpul sebelum memulakan perarakan.

Beliau berkata, firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 21 menjadi pedoman agar Rasulullah SAW dijadikan contoh ikutan terbaik dalam kehidupan, sama ada sebagai pemimpin, suami, bapa, sahabat mahupun anggota masyarakat.

“Saya menggesa agar kita mengambil iktibar daripada perjuangan Rasulullah SAW dengan memperkasakan ilmu, akhlak dan amal. Mari kita semarakkan perpaduan serta memperteguhkan tekad membina masyarakat Islam yang cemerlang di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Menurut beliau, sambutan ini juga menjadi medan muhasabah untuk menilai sumbangan umat Islam terhadap agama, masyarakat dan negara, selain memikirkan warisan yang bakal ditinggalkan untuk generasi akan datang.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, swasta, NGO, institusi pendidikan dan individu yang memberi kerjasama serta sokongan menjayakan sambutan pada tahun ini.

Tahun ini, sebanyak 209 kontinjen membabitkan 9,532 peserta mengambil bahagian, terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta, institusi pendidikan, sekolah, masjid, surau, persatuan serta kumpulan hadrah.

“Penyertaan ribuan ahli kontinjen dari serata Sarawak jelas membuktikan semangat kecintaan dan ingatan kita terhadap Rasulullah SAW. Semoga apa yang kita lakukan pada hari ini mendapat ganjaran terbaik daripada Allah SWT,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Hospital pengajar UNIMAS dijangka siap November 2026 – Ahmad Maslan
Next: 10,000 sertai perarakan Maulidur Rasul Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.