
SARATOK: Kepelbagaian kaum dan agama di Sarawak terus menjadi aset terpenting dalam mengekalkan keamanan negeri, selari dengan aspirasi ‘Segulai Sejalai’ yang menjadi pegangan rakyat selama ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, kemeriahan sambutan Hari Krismas merupakan simbol keunikan masyarakat Malaysia yang hidup dalam suasana saling menghormati dan penuh kasih sayang.
”Sambutan ini memperlihatkan komitmen kita bersama untuk memupuk semangat kebersamaan. Marilah kita manfaatkan majlis seumpama ini untuk mengeratkan silaturahim agar kesejahteraan negeri dan negara terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis sambutan Hari Krismas 2025 di Rumah Anau, Entebu, di sini semalam.
Menurut Mohamad Duri, Sarawak yang didiami oleh 27 kumpulan etnik dikenali sebagai wilayah yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan.
Keindahan perpaduan ini jelas terserlah apabila perayaan besar seperti Krismas, Aidilfitri, Gawai Dayak, dan Tahun Baharu Cina diraikan bersama oleh semua lapisan masyarakat.
”Di Sarawak, perayaan bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi landasan penting untuk budaya kunjung-mengunjung. Amalan inilah yang telah lama membentuk keharmonian dan kestabilan negeri kita,” tambah beliau lagi.
Beliau turut mengingatkan warga Saratok agar tidak membiarkan anasir luar memecah-belahkan perpaduan yang telah dibina sekian lama.
Tegasnya, walaupun berbeza latar belakang bangsa seperti Melayu, Iban, Cina, Bidayuh dan lain-lain, semua rakyat bernaung di bawah satu bendera ‘Ibu Pertiwi’.
”Kita amat bertuah kerana hidup dalam suasana aman. Perpaduan dan kesepakatan ini mesti kita pelihara bersama. Jangan biarkan sesiapa menggugat keharmonian ini.
”Saya berharap agar sambutan Krismas tahun ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada yang meraikannya, malah menjadi wadah untuk kita terus mempererat hubungan persaudaraan demi Sarawak yang aman dan makmur,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Nanga Budu mewakili Pegawai Daerah Saratok, Hatta Adenan; Pemanca Lim Guan Ann serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).
Oleh Adi Safarman