Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 Peringkat Daerah Bintulu perkasa wanita dalam ekonomi digital

Facebook
WhatsApp
RAKAM KENANGAN.. Majlis sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 (HW26) Peringkat Daerah Bintulu yang berlangsung di sebuah hotel di Bintulu, hari ini.

BINTULU: Sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 (HW26) Peringkat Daerah Bintulu berlangsung meriah di sebuah hotel di sini hari ini dengan menghimpunkan wakil agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan wanita serta pemimpin masyarakat bagi meraikan peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan negeri.

Bertemakan ‘Wanita Sarawak dalam Ekonomi Digital’, program anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dengan kerjasama Pejabat Daerah Bintulu itu bertujuan memperkasa wanita melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran dan penyertaan dalam ekonomi digital.

Majlis diserikan dengan kehadiran isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Puan Sri Dato Fatimah Iskandar.

SYABAS diucapkan kepada penerima Anugerah Ikon Wanita Razuna Kiprawi, penerima Anugerah Personaliti Wanita Angellie Stephen Raja, serta penerima Anugerah Wanita Elegan Victoria Mujan Nyeigok atas pengiktirafan dan sumbangan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Pada 10.30 pagi, para hadirin mengikuti siaran langsung sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 Peringkat Negeri yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuching.

Menerusi amanat yang disampaikan secara langsung, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, wanita Sarawak merupakan aset penting dalam pembangunan negeri dan memainkan peranan besar dalam menjayakan transformasi digital selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Beliau berkata, wanita bukan lagi sekadar menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, malah kini menjadi pemacu inovasi, keusahawanan digital dan pertumbuhan ekonomi yang inklusif di seluruh Sarawak.

“Wanita Sarawak bukan sekadar menyertai ekonomi digital, tetapi turut membentuk masa depan digital Sarawak melalui pelbagai sektor kehidupan,” katanya.

Menurut beliau, bertepatan dengan tema sambutan tahun ini, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) telah menerbitkan buku ‘Wanita Sarawak dalam Ekonomi Digital’ yang menghimpunkan kisah kejayaan 23 wanita Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI), keusahawanan digital, pendidikan, inovasi, pembangunan sistem dan teknologi.

Katanya, penerbitan tersebut membuktikan wanita Sarawak bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, malah berjaya memimpin perubahan serta mencipta peluang baharu dalam ekonomi digital.

Fatimah turut memaklumkan kementeriannya sedang membangunkan Papan Pemuka Keusahawanan Wanita sebagai platform pangkalan data usahawan wanita di seluruh Sarawak.

Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan menyediakan data dan maklumat berkaitan perkembangan usahawan wanita secara lebih sistematik bagi menyokong perancangan dasar dan pembangunan keusahawanan.

PENGHARGAAN kepada Puan Sri Dato Fatimah Iskandar, isteri kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak atas kehadiran dan sokongan pada majlis sambutan Hari Wanita Sarawak 2026 (HW26) Peringkat Daerah Bintulu.

“Setakat ini, lebih 3,000 usahawan wanita telah direkodkan dalam pangkalan data berkenaan bagi membantu memperkukuh pembangunan keusahawanan wanita melalui pemetaan data, pembangunan kapasiti serta peluasan akses pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak juga terus komited memperkasa kepimpinan wanita menerusi pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Kerusi Kepimpinan Wanita di Universiti Swinburne Sarawak serta penyertaan wanita Sarawak dalam program pembangunan kepimpinan di Kolej Universiti Kepimpinan Insan ASEAN (AULAC).

“Penglibatan aktif wanita dalam ekonomi digital bukan sahaja meningkatkan taraf hidup keluarga, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti dan kemajuan Sarawak secara keseluruhannya. Bersama-sama kita memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja; isteri kepada ADUN Samalaju, Evelyn Hasan; isteri kepada ADUN Jepak, Dayang Loha Awang Sahari; menantu kepada Speaker DUN Sarawak, Adriana Azmanni; Ketua Wanita PBB Jepak, Noriha Ali; Pemangku Pegawai Daerah Bintulu, Suzanna Indiat; serta wakil jabatan, agensi dan organisasi berkaitan.

Oleh Faizah Muzidi