
LIMBANG: Sambutan Hari Wanita 2025 peringkat Daerah Limbang disambut meriah dengan penglibatan komuniti secara menyeluruh, bagi mengiktiraf pencapaian serta peranan penting wanita dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keluarga, masyarakat, dan negara.
Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal berkata, kerajaan dan pelbagai pihak sentiasa komited menganjurkan program serta aktiviti untuk memperingati hari bermakna ini.
Beliau berkata, sambutan tahun ini bertemakan Kepelbagaian, Kesamarataan, Keadilan dan Keterangkuman (Diversity, Equality, Equity and Inclusivity) (D2EI), yang menekankan kepentingan penyertaan menyeluruh wanita dari semua latar belakang dalam membina masyarakat yang adil, seimbang dan inklusif.
“Hari Wanita Sarawak 2025 peringkat Daerah Limbang diadakan bagi meraikan sumbangan dan perjuangan wanita dalam pembangunan keluarga, ekonomi, komuniti, serta kepimpinan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Program itu mendapat kerjasama daripada sembilan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) utama di kawasan ini, iaitu JKKK Kampung Cina, JKKK Bandar, JKKK Kubong, JKKK Pandaruan, JKKK Batu 7 Keliling, JKKK Medamit, JKKK Pandak, JKKK Kuala Berawan, dan JKKK Buluh Baloi.
Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk sukaneka, bertujuan memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan kekeluargaan dalam kalangan penduduk setempat.
Majlis perasmian rasmi sambutan turut disiarkan secara langsung menerusi Zoom Live dan dirasmikan oleh Premier Sarawak.
Turut hadir, isteri Pegawai Daerah Limbang, Rosidah Masawi, Penghulu Ang Chiw Kiam, serta ketua-ketua masyarakat tempatan.
Oleh Adeng Edrus