Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Sambutan Hari Seniman Negara lebih meriah, hargai warga industri kreatif
  • HIBURAN

Sambutan Hari Seniman Negara lebih meriah, hargai warga industri kreatif

Utusan Sarawak 5 hours ago
PENULIS lirik dan pelukis Syed Mohd Amin Syed Hashim, atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab ketika ditemu bual mengenai sambutan Hari Seniman Negara di Balai Seni Negara baru-baru ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Seniman Negara perlu diperkasakan agar tidak hanya bersifat simbolik, sebaliknya berkembang menjadi platform lebih besar bagi meraikan sumbangan seluruh warga seni.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil, 46, berkata penganjuran yang lebih besar dan tersusun mampu memperkukuh usaha mengiktiraf semua golongan dalam industri kreatif selain menyemarakkan lagi perkembangan sektor tersebut.

“Sebenarnya kita mengharapkan sambutan ini dapat dianjurkan seperti festival, seumpama Festival Filem Malaysia yang bukan sahaja menghimpunkan penggiat seni tetapi turut memberi pengiktirafan kepada mereka yang berjasa kepada industri kreatif.

“… contohnya memberi pengiktirafan kepada individu yang secara sukarela membantu rakan industri lain yang berdepan kesusahan, sekali gus menjadikan Hari Seniman Negara sebagai acara yang dinanti-nantikan oleh warga industri setiap tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Disambut pada 22 Mac setiap tahun bersempena dengan tarikh kelahiran Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Hari Seniman Negara lazimnya diraikan melalui program berskala sederhana yang memberi tumpuan kepada mengenang jasa tokoh legenda seni tanah air itu selain menghimpunkan penggiat industri kreatif dalam acara apresiasi seni.

Zed Zaid  yang juga Pengerusi Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, berkata istilah penggiat seni tidak terhad pada artis semata-mata, sebaliknya merangkumi pelbagai pihak dalam industri kreatif termasuk kru produksi, penulis, pengarah, pemuzik, pelukis serta individu di belakang tabir yang turut menyumbang kepada pembangunan seni negara.

Dalam pada itu, penulis lirik dan pelukis Syed Mohd Amin Syed Hashim, atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab, menyokong sambutan Hari Seniman Negara diperkasakan agar seni dapat diperkenalkan kepada masyarakat dengan lebih meluas.

PENULIS lirik dan pelukis Syed Mohd Amin Syed Hashim, atau lebih dikenali sebagai S. Amin Shahab ketika ditemu bual mengenai sambutan Hari Seniman Negara di Balai Seni Negara baru-baru ini. Foto Bernama

Beliau yang pernah menempa nama dalam Malaysian Book of Records kerana menghasilkan lukisan sepanjang satu kilometer, berkata semua pihak perlu memainkan peranan dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap makna seni dan menghargai sumbangan para seniman.

“Seni bukan sekadar hiburan, sebaliknya medium yang membantu masyarakat memahami kehidupan dan budaya. Oleh itu, usaha memperkenalkan seni kepada masyarakat perlu terus diperkukuh,” katanya.

S. Amin Shahab, 72, berkata antara langkah yang boleh diambil ialah menyediakan lebih banyak ruang seni di peringkat komuniti bagi menggalakkan penglibatan masyarakat, khususnya golongan muda, dalam aktiviti seperti pameran dan bengkel kreatif.

Menurutnya, inisiatif sedemikian bukan sahaja membuka ruang kepada bakat baharu untuk berkembang, malah mampu menyemarakkan lagi ekosistem seni tempatan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff Rosli berkata program kebajikan penggiat seni di negara ini perlu lebih tersusun dan berterusan, bukan sekadar mendapat perhatian apabila mereka berdepan kesusahan atau musibah.

Menurut beliau, setiap kali berlaku kes melibatkan penggiat seni yang sakit atau berdepan kesulitan hidup, bantuan lazimnya disalurkan secaraad hocmelalui kempen sumbangan atau inisiatif individu.

“Setiap kali ada seniman jatuh sakit atau ditimpa kesusahan, barulah kisah mereka mendapat perhatian dan pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan. Namun persoalan yang perlu kita fikirkan ialah sampai bila seniman perlu menangis dahulu sebelum dibantu,” katanya.

Katanya sokongan lain juga perlu diberikan bagi membantu penggiat seni yang menghadapi cabaran kehidupan seperti masalah kesihatan atau ketiadaan peluang kerja.

Bagi artis visual Muhammad Shafiq Nordin, 37, Malaysia memerlukan lebih banyak penganjuran festival seni sebagai platform untuk mengetengahkan karya seniman tempatan kepada khalayak lebih luas.

Beliau berkata negara jiran seperti Indonesia menganjurkan beberapa festival seni setiap tahun yang menjadi medan penting kepada pengkarya tempatan untuk menembusi pasaran global.

“Acara seumpama itu bukan sahaja membuka ruang kepada artis tempatan mempamerkan karya mereka, malah berpotensi menarik pengumpul serta galeri antarabangsa. Platform seni seperti itu juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bidang seni selain menunjukkan kerjaya sebagai seniman mempunyai potensi untuk berkembang secara profesional,” katanya.

Pelukis jalanan Amir Hamzah Al-Hafiz Mohd Yunus, 28, pula berharap sambutan Hari Seniman Negara dapat meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap karya serta bakat seniman tempatan.

“Saya berharap sambutan Hari Seniman Negara dapat membuka mata masyarakat bahawa seni juga mempunyai nilai dan peranan tersendiri dalam kehidupan. Apabila seni dihargai, seniman tempatan juga akan lebih bersemangat untuk terus berkarya,” katanya. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Sekitar 40,000 peminat berkumpul untuk konsert kemunculan semula BTS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.