
LAWAS: Sambutan Hari Sarawak yang bakal diraikan pada 22 Julai ini, iaitu esok, bukan sekadar acara tahunan, malah merupakan detik bermakna untuk seluruh rakyat Sarawak mengenang jasa pemimpin terdahulu yang telah meletakkan asas kepada kemajuan negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, tarikh keramat itu wajar dijadikan ruang refleksi dan penghargaan terhadap sumbangan generasi pemimpin yang telah berjuang demi kemerdekaan dan kestabilan Sarawak.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Sarawak 22 Julai 2025 kepada semua anak-anak Sarawak, di mana sahaja mereka berada. Ini adalah tarikh penting yang memperingatkan kita tentang pengorbanan dan kepimpinan mereka yang terdahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM300,000 kepada 50 penerima di Majlis Daerah Lawas, semalam.

Dalam majlis sama, seramai 63 pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke pelbagai institusi pendidikan tinggi turut menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat PBB Bukit Sari Lawas.
Awang Tengah turut mengajak seluruh warga Sarawak untuk menjadikan sambutan Hari Sarawak sebagai peluang untuk memperkukuh perpaduan dan bekerjasama dengan pimpinan negeri dalam membentuk masa depan yang lebih cemerlang bagi generasi akan datang.
“Kita harap rakyat Sarawak akan terus menikmati kehidupan yang sejahtera. Walaupun berbeza dari segi budaya dan latar belakang, semangat kerjasama dan perpaduan harus terus dipertahankan demi memastikan Sarawak kekal stabil, aman dan makmur,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan GPS yang diterajui Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg yang telah membawa negeri ini ke tahap pembangunan yang lebih menyeluruh dan berstrategi.
“Kita juga meneroka sektor ekonomi baharu demi menjamin pembangunan masa depan, bukan sahaja untuk generasi kini tetapi juga untuk generasi yang akan datang,” ujarnya.
Majlis diakhiri dengan laungan penuh semangat ‘Selamat Hari Sarawak’ oleh Awang Tengah bersama para hadirin sebagai simbolik kepada sambutan Hari Sarawak yang akan diadakan secara rasmi di Miri pada 22 Julai ini, iaitu esok.
Oleh Adeng Edrus