SETIAP tahun perayaan Hari Raya disambut meriah oleh masyarakat Islam di negara ini. Fenomena balik kampung adalah fenomena yang memeriahkan suasana Hari Raya, mencipta pelbagai pengalaman manis dan pahit. Pengalaman manis apabila dapat berjumpa dengan keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Pengalaman mencabar juga dirasai kerana terpaksa menyediakan perbelanjaan yang mencukupi seperti membeli tiket kapal terbang bagi yang tinggal berjauhan dan membeli atau menempah baju raya ahli keluarga.
Bagi umat Islam, kos menyediakan jamuan makanan dan minuman dilakukan dengan ikhlas, kadangkala boleh menjejaskan aliran perbelanjaan bulanan. Namun sambutan Hari Raya boleh diteliti daripada perspektif ilmu antropologi.
DARI KACA MATA ANTROPOLOGI
Berdasarkan perspektif antropologi, Hari Raya dapat dilihat sebagai fenomena budaya yang kaya dengan ritual, simbol dan makna sosial. Bidang antropologi mempelajari manusia dalam semua aspek kehidupan mereka, termasuk kepercayaan, tradisi dan amalan keagamaan.
Antara aspek penting Hari Raya daripada perspektif ilmu antropologi dapat dilihat dalam konteks aspek ritual dan perayaan. Perkara ini dapat dilihat dengan ada penglibatan serangkaian ritual yang membentuk struktur perayaan yang dapat dilihat dalam konteks aktiviti-aktiviti seperti solat berjemaah, menempuh Ramadan dengan amalan ibadah termasuk solat tarawih, takzirah, beribadah secara tekun khusus untuk memastikan tidak ketinggalan malam Lailatul Qadar, membayar zakat fitrah, solat Aidilfitri, bertakbir raya tanda kemenangan selepas berpuasa dan menempuh Ramadan.
Aspek ini juga dilihat dalam konteks persiapan sebelum menyambut Hari Raya seperti terlibat dalam menyediakan makanan dan minuman istimewa Hari Raya dan ini bergantung kepada lokaliti atau budaya setempat. Dalam antropologi, ritual dilihat sebagai cara manusia mengorganisasikan pengalaman sosial dan mengkomunikasikan makna budaya.
Sebab itu, terdapat juga pengaruh malam tujuh likur dengan diterangi cahaya yang dapat dilihat pengaruh kepercayaan lama. Dalam konteks ini, sudut pandangan antropologi akan tertarik untuk mempelajari mekanisme ritual-ritual ini membentuk identiti keagamaan dan memperkuat kesepaduan umat Islam. Misalnya, solat sunat berjemaah di pagi raya, tradisi bermaaf-maafan satu sama lain, menjadi formaliti yang kadangkala diulang tanpa makna mendalam khususnya kalangan yang kurang menghayati akan tafsiran nilai sebenar.
SIMBOL, IDENTITI DAN LAMBANG
Dalam konteks masyarakat Melayu, Hari Raya penuh dengan simbol dan lambang yang mempunyai makna mendalam dalam budaya dan kepercayaan masyarakat. Contohnya, pakaian tradisional yang dipakai seperti baju Melayu atau baju kurung, serta dekorasi rumah dengan lampu raya dan bunga manggar, semuanya mempunyai makna simbolik berkaitan dengan identiti, kebersamaan dan keberkatan.
Misalnya, pemakaian baju raya yang baru pada Aidilfitri adalah simbol penting yang mencerminkan kegembiraan, kemakmuran dan identiti budaya. Baju raya sering kali dirancang dengan motif-motif tradisional atau moden yang khas bagi setiap budaya atau wilayah. Terdapat penggunaan baju Melayu teluk belanga atau baku kurung Johor yang diperkenalkan semasa pemerintahan Sultan Abdul Bakar pada 1866.
Asal baju Melayu diperkenalkan ketika pemerintrahan Sultan Muhammad Shah (1424-1444), Sultan Melaka yang ketiga yang menegah orang Melayu memakai cara pakaian bangsa asing seperti pakaian Arab dan Eropah. Terdapat juga larangan pemakaian kain pelikat atau sarung tanpa berseluar yang popular diamalkan oleh masyarakat India atau dikenali sebagai Keling ketika itu. Baju kurung diperkenalkan oleh Tun Hassan ketika zaman Sultan Mahmud Syah. Reka bentuk asas pakaian Melayu ialah baju, seluar dan destar. Sejarah identiti baju Melayu ini berubah mengikut zaman, namun konsep asas tetap dikekalkan.
KETUPAT
Ketupat adalah simbol penting dalam perayaan Hari Raya. Dari segi bentuknya yang segi tiga, segi empat mahu pun segi lima yang melambangkan kesatuan, kebersamaan dan kesatuan dalam masyarakat. Ketupat juga melambangkan kesederhanaan dan keikhlasan kerana ketupat dibuat daripada bahan sederhana seperti anyaman daun kelapa. Ketupat menggambarkan keragaman budaya dalam masyarakat Islam, kerana dihidangkan oleh pelbagai etnik dalam rumpun Melayu atau dunia Melayu.
Ketupat sudah wujud sejak zaman pemerintahan Demak Raden Patah pada awal abad ke-15. Terdapat lebaran ketupat dari kepulauan Jawa yang merupakan simbol tradisi sebagai tanda pintu kemaafan dan bermaaf-maafan . Di Riau terdapat ketupat daun kapau, manakala Aceh dikenali sebagai ketupat tape. Di Filipina khususnya kalangan masyarakat Visaya dan Mindanao nama ketupat dikenali sebagai puso atau tamu. Sama-Bajau pula menyebutnya sebagai katumpat. Pendek kata ketupat adalah simbol dalam budaya Melayu dan kaitkan dengan perayaan edul fitri.
Selain ketupat, lemang yang dipercayai berasal dari Minangkabau adalah makanan tradisi ketika menyambut Hari Raya dan lemang juga dikenali meluas di Semenanjung Malaysia, Borneo-Kalimantan akibat pengaruh difusi budaya dalam budaya Melayu. Lemang diperbuat daripada beras pulit yang dimasak dengan santan dan garam dalam buluh, dilapik dengan daun pisang kemudian dibakar sehingga masak. Ia juga dikaitkan dengan tradisi orang Islam di Padang Sumatera apabila menyambut perayaan aidil fitri.
STRUKTUR KELUARGA
Analisis struktur keluarga dalam perayaan Hari Raya mengungkap banyak aspek yang menarik, termasuk peranan gender, hubungan dan dinamika dalam keluarga. Dalam masyarakat dan budaya Melayu Islam, peranan wanita dilihat penting dalam melakukan persiapan makanan dan hiasan rumah, manakala golongan lelaki bertanggungjawab atas urusan kewangan dan persiapan secara fizikal yang lebih memerlukan tenaga seperti mengecat rumah dan aktiviti memasak lemang.
Peranan gender ini membentuk dinamika dalam keluarga dan memperlihatkan perubahan sosial yang mempengaruhi peranan mereka. Dari segi kekuasaan dan autoriti struktur keluarga dalam perayaan Aidilfitri juga diserlahkan dinamika tersebut. Misalnya ketua keluarga, suami atau orang tua mempunyai peranan penting dalam membuat keputusan seperti keputusan untuk balik kampung di rumah yang wajar lebih diutamakan, tempat-tempat ziarah mengikut hari, tempoh berziarah dan balik kampung, terkait perayaan dan tradisi keluarga. Dalam aspek antropologi aspek penyebaran kekuassan dan penentu mempengaruhi hubungan antara anggota keluarga dan memperlihatkan perubahan sosial dapat mempengaruhi dinamika kekuasaan dalam keluarga.
DINAMIKA RAYA
Dinamika keluarga moden apabila berlakunya perubahan sosial seperti urbanisasi, migrasi dan globalisasi telah mempengaruhi struktur dan dinamika keluarga dalam perayaan Hari Raya. Misalnya, keluarga yang terpisah oleh jarak geografi menghadapi cabaran dalam menjaga tradisi dan hubungan keluarga ketika perayaan.
Aspek balik kampung misalnya dipengaruhi oleh kos pengangkutan dan penginapan yang perlu ditanggung, keutamaan terhadap nilai-nilai Islam berbanding berbentuk adat dan peranan teknologi yang boleh merapatkan hubungan dengan lebih cepat dan mesra. Faktor globalisasi memberikan perubahan dalam cara orang merayakan Hari Raya, dari gaya berpakaian hingga cara berkomunikasi dan berkongsi pengalaman perayaan menggunakan media sosial seperti wadah Tiktok.
Iklan raya, promosi komersial memberikan perubahan gaya hidup seperti pengenalan kepada penggunaan kurta, pakaian baju raya yang lebih inovatif, malah duit raya kadangkala terlalu ditekankan sedangkan ia adalah satu bentuk hadiah Ikhlas atau pemberian setulus hati yang sesuai dengan keikhlasan dan kemampuan seseorang.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).