
LAWAS: Dewan Masyarakat Trusan menjadi tumpuan penduduk dari sekitar Trusan dan Lawas sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 yang berlangsung meriah pada 30 Ogos lalu.
Acara bermula seawal pagi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti sukan rakyat, pertandingan e-sukan Mobile Legends, pameran serta jualan produk komuniti tempatan di daerah kecil Trusan.
Program ini dianjurkan oleh Persatuan Komuniti Trusan dengan kerjasama Saberkas Cawangan Ba’kelalan, Saberkas Cawangan Bukit Sari, serta Pusat Khidmat Parlimen Lawas.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, menyifatkan program sulung itu sebagai bukti kesepakatan dan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan komuniti Trusan.
Beliau turut berharap agar semangat perpaduan, kerjasama dan harmoni masyarakat di Trusan akan terus menjadi kekuatan untuk menyaksikan kebangkitan Trusan dalam arus pembangunan setempat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, memaklumkan bahawa daerah kecil Trusan bakal melalui fasa pembangunan baharu seiring dengan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pesisir Utara dan pembinaan Jambatan Baru Trusan yang dijangka bermula dalam masa terdekat.
“Trusan pernah menjadi pusat pentadbiran utama Lawas suatu ketika dahulu dan kini kembali bangkit sebagai pekan persinggahan penting, terutama bagi pelawat dari negara Brunei yang terletak bersebelahan,” ujarnya.
Tambahnya, pelbagai projek pembangunan sedang dirancang dan dalam pelaksanaan, termasuk pembangunan semula bandar Trusan yang mampu menarik kedatangan pelawat dari negara jiran.
Sambutan malam ambang Hari Kebangsaan turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan nyanyian, sebelum lagu Keranamu Malaysia didendangkan beramai-ramai dengan kibaran Jalur Gemilang tepat tengah malam, menjelang 31 Ogos.
Turut hadir, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Exco Saberkas Sarawak Steve Lius dan Awangku Bahar Pengiran Jini serta kenamaan tempatan lainnya.
Oleh Adeng Edrus