
Foto DUN N.59 TAMIN
KUCHING: Seramai 40 orang guru dan guru besar dari seluruh daerah Selangau hadir memeriahkan majlis makan malam sempena sambutan Hari Guru 2025, anjuran Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) Daerah Selangau, yang berlangsung di Overseas Seafood Restaurant, Jalan Airport, kelmarin.
Majlis penuh penghargaan itu turut dihadiri oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang.
Dalam ucapannya, Rundi menekankan bahawa pendidikan berkualiti dan komitmen guru memainkan peranan penting dalam memajukan bangsa Dayak.
“Bangsa Dayak boleh maju jika anak-anak diberi pendidikan yang baik dan para guru terus komited dengan tanggungjawab mereka.
“Saya bersetuju dengan pandangan ADUN Tamin, kita sebenarnya mampu melahirkan sekurang-kurangnya seorang jutawan dari setiap rumah panjang, jika pendidikan dijadikan keutamaan,” katanya.
Sementara itu, Malcolm Mussen merakamkan penghargaan kepada para guru yang telah berjaya membimbing anak-anak dari kawasan pedalaman hingga mencapai kejayaan dalam pelajaran dan kerjaya.
“Terima kasih kepada semua guru, terutamanya yang mendidik anak-anak dari kawasan ulu sungai. Ramai antara mereka kini melanjutkan pelajaran ke menara gading dan bekerja di sektor kerajaan serta syarikat-syarikat besar.
“Ini bukti jelas bahawa pendidikan mampu mengubah nasib dan kehidupan seseorang,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Christopher Gira, menyifatkan guru sebagai jambatan penting antara pelajar, ibu bapa dan kerajaan, dalam membentuk masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

“Guru memainkan peranan penting sebagai penghubung antara murid, ibu bapa dan pentadbiran. Kerjasama erat antara guru dan wakil rakyat perlu diteruskan demi kemajuan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan warga pendidik, ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan turut menyumbangkan sejumlah RM35,000 kepada PGBM Daerah Selangau.
Pengerusi PGBM Daerah Selangau, Edwin, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan sentiasa menyokong perjuangan para guru.
“Sokongan ini menyuntik semangat kami untuk terus berkhidmat dengan dedikasi dan integriti. Guru akan terus menjadi agen perubahan kepada masyarakat dan negara,” tegasnya.
Turut hadir, Ketua Pendidikan Daerah Selangau Gawan Saut, bersama guru-guru dari seluruh daerah Selangau.
Oleh Tarani Lanting