
SIMANGGANG: Sambutan Hari Gawai Dayak bukan sekadar simbol kesyukuran selepas musim menuai atau acara kebudayaan tahunan, sebaliknya menjadi pengiktirafan rasmi terhadap kewujudan, warisan budaya serta sumbangan masyarakat Dayak kepada pembangunan Sarawak.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, pewartaan cuti umum Hari Gawai Dayak pada 1 Jun sejak September 1964 membuktikan pengiktirafan kerajaan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi asas keharmonian masyarakat di negeri ini.
Menurutnya, Hari Gawai kini berkembang menjadi platform yang menyatukan keluarga, komuniti dan pelbagai kaum melalui semangat kebersamaan serta saling menghormati antara satu sama lain.

“Perayaan ini bukan hanya diraikan oleh masyarakat Dayak, malah turut dikongsi bersama rakyat berbilang kaum yang menjadikan Sarawak unik dari segi perpaduan dan keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengerami Mantar Gawai Dayak Parti Rakyat Sarawak (PRS) Simanggang yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.
Mengulas tema sambutan tahun ini, ‘Penyerakup Mai Pengelantang, Nuju Pemansang’, Doris berkata, tema tersebut membawa mesej yang amat signifikan mengenai kepentingan perpaduan dan kerjasama dalam mencapai kemajuan serta kejayaan bersama.
Katanya, semangat bersatu padu perlu terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat dan anggota parti kerana ia merupakan faktor utama yang menentukan kekuatan sesebuah organisasi, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya akan datang.
“Jika kita bersatu, sememangnya kita kuat dan teguh. Namun jika kita berpecah belah, kita akan rugi serta tewas,” tegas beliau sambil menyeru semua pihak agar terus mengekalkan semangat muafakat demi kestabilan dan kemajuan negeri.
Turut berucap pada majlis tersebut, Pengerusi Penganjur, Kaunselor Sugom Sadai.
Antara yang hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Pandang Semat, Penghulu Biju serta bekas Temenggong Datu Samuel Lawen bersama isterinya, Datin Annie Lai.
Oleh Adi Safarman