
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah menghadiri Majlis Ngiling Bidai 2025 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Murieng, Sungai Kotak, petang semalam.
Majlis tersebut menandakan berakhirnya sambutan Hari Gawai Dayak di Rumah Murieng.
Dalam suasana penuh kemeriahan, Datuk Ding turut bersama penduduk rumah panjang menyertai tarian ngajat, menyanyikan dua buah lagu, serta menari tarian poco-poco yang melambangkan keakraban antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Beliau juga mengambil bahagian dalam upacara adat seperti ‘Miring’ dan ‘Ngiling Bidai’.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau menyatakan harapan agar sambutan Hari Gawai Dayak membawa keberkatan, kesihatan yang baik dan keharmonian berterusan kepada seluruh penduduk rumah panjang.

“Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan rumah panjang terus menikmati hasil pembangunan, khususnya dari segi infrastruktur dan kesejahteraan sosial.
“Saya menyeru agar semua penduduk terus menyokong dasar-dasar kerajaan negeri demi kesinambungan pembangunan yang mampan di kawasan ini,” katanya.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan komuniti, beliau turut mengumumkan peruntukan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM3,000 kepada Biro Wanita Rumah Murieng, bagi melaksanakan aktiviti tahunan rumah panjang tersebut.
Oleh Earl Anek