
PETRA JAYA: Sambutan Gawai Dayak anjuran Jabatan Premier Sarawak (JPS) diraikan dengan penuh meriah dalam suasana harmoni dan perpaduan, berlandaskan semangat ‘Sarawak Civil Service (SCS) One Team’.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik berkata, perayaan Gawai Dayak bukan sekadar masa untuk bergembira, tetapi juga ruang untuk merenung dan memperkukuh jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Gawai adalah waktu keluarga, sahabat dan komuniti berkumpul dalam semangat kesyukuran. Di JPS, ‘SCS One Team’ bukan sekadar slogan, tetapi cerminan kepada kehidupan sebagai satu keluarga, seperti yang diilhamkan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
“Sambutan hari ini mencerminkan semangat tersebut — kita bersatu sebagai satu keluarga besar untuk menghormati budaya, tradisi dan nilai murni masyarakat Dayak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Gawai Dayak JPS di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Petra Jaya, semalam.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Datu Buckland turut menyatakan bahawa tema sambutan kali ini, “Peji Kenep Panau Pegep” yang bermaksud “Bersatu Kita Maju”, selari dengan aspirasi SCS One Team dan visi Premier Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030).
“Visi ini bukan sahaja bertujuan menjadikan Sarawak sebuah wilayah berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030, tetapi juga memastikan pembangunan yang inklusif, adil dan saksama untuk semua rakyat.
“Marilah kita terus melangkah ke hadapan bersama-sama sebagai One Team, bersatu dalam tujuan dan semangat. Apabila kita berdiri bersama, tiada cabaran yang terlalu besar, tiada matlamat yang terlalu jauh.
“Seperti yang sering diperkatakan, ‘TEAM bermaksud Together Everyone Achieves More’. Jadikanlah prinsip ini sebagai panduan dalam merealisasikan impian Sarawak yang kita dambakan bersama,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) JPS, seramai 163 pelajar daripada kumpulan B40 dari SK St. Francis Xavier, Kampung Seratau, Padawan turut menerima sumbangan beg sekolah dan kelengkapan alat tulis asas.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Premier Sarawak.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, barisan Menteri Kabinet Negeri serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Hadir sama Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali, Timbalan-Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Buckland Bangik dan Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, ketua-ketua jabatan serta tetamu kenamaan lain. – UKAS