
BINTANGOR: Sambutan perayaan Gawai Antu 2025 yang berlangsung penuh adat dan tradisi di Rumah Serit, Tanah Putih, mencerminkan keutuhan warisan budaya serta semangat perpaduan komuniti rumah panjang di kawasan Meradong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing telah menghadiri sambutan perayaan tersebut yang melibatkan tujuh pintu rumah panjang.
Katanya, Gawai Antu merupakan perayaan yang amat bermakna kerana ia bukan sahaja memperingati roh nenek moyang, malah berperanan mengeratkan hubungan kekeluargaan dan perpaduan dalam kalangan penduduk rumah panjang.

“Tradisi seperti perayaan Gawai Antu mencerminkan identiti masyarakat Iban dan merupakan aset budaya yang wajar dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda.
“Sambutan dalam suasana penuh penghormatan dan keharmonian ini turut menggambarkan nilai muhibah serta semangat kebersamaan yang kukuh dalam komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada perayaan tersebut.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong penganjuran program kemasyarakatan dan kebudayaan di kawasan Meradong sejajar dengan usaha memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum dan latar belakang.
“Perayaan seperti ini menjadi platform penting untuk mempereratkan silaturahim dan mengekalkan nilai adat yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat luar bandar.
“Saya berharap sambutan Gawai Antu dan program kebudayaan lain dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai wadah memperkukuh jati diri komuniti serta memelihara keunikan budaya tempatan,” katanya.
Koung Hiing turut beramah mesra dengan penduduk, mendengar pandangan serta keperluan komuniti, di samping merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Rumah Serit atas usaha berterusan memelihara adat resam dan warisan budaya turun-temurun.
Oleh Earl Anek