
Ribuan umat Islam Indonesia menunaikan solat Aidiladha di Masjid Besar Baiturrahman, Banda Aceh, hari ini. - Foto AFP
JAKARTA: Jutaan umat Islam di seluruh Indonesia menunaikan solat sunat Aidiladha pada pagi tadi di masjid dan kawasan lapang, diikuti dengan ibadah korban serta mengagihkan daging kepada golongan memerlukan, sebagai lambang keikhlasan, kasih sayang, dan keprihatinan sosial.
Presiden Prabowo Subianto hadir menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Istiqlal, Jakarta Pusat, bersama bekas Naib Presiden Jusuf Kalla, ketua-ketua institusi negara, duta besar dan menteri Kabinet.
Solat berjemaah di masjid terbesar di Asia Tenggara itu disertai ratusan ribu umat Islam yang memenuhi setiap ruang.
Sementara itu, Naib Presiden Gibran Rakabuming Raka menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sheikh Zayed di Solo, Jawa Tengah.
Sebagai tanda pengabdian, Prabowo dan Gibran masing-masing menyumbangkan seekor lembu seberat 1.25 tan dan 1.1 tan kepada Jawatankuasa Korban Masjid Istiqlal untuk disembelih esok.
Selain itu, Prabowo telah membeli sebanyak 985 ekor lembu daripada 573 penternak tempatan di seluruh Indonesia untuk diagihkan kepada masjid-masjid di 38 wilayah dan 514 daerah.
“Selamat Hari Raya Aidiladha 1446H. Semoga hari mulia ini menjadi pengikat persaudaraan, menguatkan solidariti, dan menjadi asas membina Indonesia dengan semangat perpaduan dan pengabdian,” tulis Prabowo di akaun X.
Bagi ratusan rakyat Malaysia yang menetap di Jakarta, sambutan Aidiladha bukan sekadar memenuhi kewajipan agama, malah membangkitkan nostalgia suasana raya di tanah air.
Di Kedutaan Besar Malaysia, Jakarta Selatan, lebih 400 rakyat Malaysia berkumpul menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum menunaikan solat Jumaat.
Ibadah korban turut dijalankan dengan penyembelihan tiga ekor lembu dan 16 ekor kambing untuk diagihkan kepada komuniti Malaysia dan penduduk sekitar.
“Kebersamaan ini menghidupkan semula semangat gotong-royong walaupun jauh dari kampung halaman,” kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.
Acara korban berjalan lancar sejak awal pagi, dengan semua persiapan selesai sebelum solat Jumaat.
Majlis disusuli jamuan makan dan pengagihan daging korban kepada komuniti Malaysia dan penduduk sekitar.
“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar berkat kerjasama para pegawai, staf kedutaan, Perwakilan Tetap Malaysia untuk ASEAN, serta warga Malaysia yang sama-sama merayakan Aidiladha ini,” kata Syed Mohamad Hasrin. – BERNAMA