BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul.. Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) juga merasakan kengkangan dan kepayahan yang dilalui oleh seluruh masyarakat Dayak di Sarawak dalam persiapan menyambut Perayaan Hari Gawai Dayak tahun ini kerana terpaksa menempuhinya dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) wabak Covid-19.
Namun begitu, kita harus faham segala tindakan serta langkah yang diambil oleh Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak serta agensi lain yang berkaitan adalah untuk kebaikan dan keselamatan kita semua dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini.
Di sini saya ingin mengingatkan masyarakat Dayak agar sentiasa mematuhi segala Prosedur Operasi Standarr (SOP) yang dikeluarkan, baik oleh Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Sarawak sepanjang Sambutan Perayaan Hari Gawai Dayak.
Usah ‘pulai ke menua’ atau balik ke kampung masing-masing bagi mengurangkan risiko menularkan wabak Covid-19.
Harus diingati perjalanan ‘Rentas Daerah’ hanya dibenarkan kepada kes berkaitan dengan perubatan atau kematian dan dengan surat kebenaran daripada Polis.
Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum perlu lebih proaktif untuk mengambil tanggungjawab melindungi, memelihara dan memperkasakan komuniti di bawah jagaan mereka daripada jangkitan Covid-19.
Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum perlu memastikan SOP yang dikeluarkan JPBN Sarawak dipatuhi sepanjang masa di rumah panjang masing-masing atau kampung bagi mereka yang tinggal di rumah yang berasingan dalam sebuah kampung.
Kekalkan tradisi upacara Gawai kaum ethnik masing-masing namun hentikan cara menyambut perayaan seperti biasa sebagai contoh berkongsi gelas sewaktu sesi minum yang selama ini telah menjadi tradisi dan amalan penduduk rumah panjang. Amalan norma baharu ini perlu untuk mengurangkan risiko penularan semula jangkitan Covid-19.
Kepada yang akan menyambut Hari Gawai, kita nasihatkan supaya mengekalkan ‘Penjarakan Sosial’ (Social Distancing), sentiasa menggunakan topeng penutup mulut dan muka apabila melawat keluarga terdekat sahaja dan tidak melebihi 20 orang pada bilik atau rumah tersebut pada 1 Jun (Hari Gawai) kelak.
Amalkan menjaga kebersihan diri seperti sentiasa membasuh tangan serta mengguna sanitizer tangan.
Saya memohon kesabaran daripada semua kaum Dayak dengan usaha dan inisatif Kerajaan Sarawak dalam memberi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dan segala langkah keselamatan dan kesihatan yang telah diambil oleh JPBN Sarawak kerana ia adalah untuk kebaikan kita bersama.
Akhir sekali, Covid-19 tidak mengenal kaum, agama, jantina atau latar belakang dan sekiranya anda tidak menyambut Hari Gawai, duduklah di rumah agar anda sentiasa dalam keadaan selamat dan sihat.
“Selamat nyambut Hari Gawai Dayak, gayu guru, gerai nyamai, lantang senang nguan menoa.”