
KOTA SAMARAHAN: Penganjuran Maraton HSL Samarahan 2026 terus memainkan peranan dalam memperkukuh sektor pelancongan sukan Sarawak apabila berjaya menarik penyertaan pelari dari pelbagai negara dan negeri di Malaysia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara tersebut bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memberi limpahan positif kepada industri pelancongan negeri.
“Ramai peserta yang datang bukan sahaja dari Kuching atau Sarawak, malah ada dari Semenanjung Malaysia, Afrika dan beberapa tempat lain.
“Ini merupakan satu acara sukan yang sihat dan pada masa sama membantu industri pelancongan kerana ramai yang datang dari luar kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Maraton HSL Samarahan 2026 di Hock Seng Lee Berhad di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, menjelaskan bahawa sambutan diterima pada edisi kali ini amat menggalakkan walaupun penganjur hanya mengadakan kategori separuh maraton berikutan kerja pembinaan jalan di kawasan Samarahan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak pengurusan HSL, penganjur bersama dan para penaja kerana berjaya menganjurkan acara ini sekali lagi.
“Acara seperti ini sangat baik kerana selain menggalakkan sukan dan kesihatan, ia turut membawa kehadiran pelawat ke Sarawak,” tambahnya.
Sementara itu, Maraton HSL Samarahan 2026 mencatat beberapa keputusan memberangsangkan dengan rekod baharu berjaya direkodkan dalam kategori tertentu.
Pelari Kenya, Dennis Isika menjuarai kategori lelaki dengan catatan satu jam 16 minit 28 saat sekali gus memadam rekod tahun lalu milik Andy Yeo iaitu satu jam 20 minit 51 saat. Kategori wanita pula dimenangi Abigael Jerop menerusi catatan satu jam 27 minit 26 saat.
Bagi kategori kebangsaan yang diperkenalkan tahun ini, Syahrullah Safri muncul juara lelaki dengan masa satu jam 16 minit 31 saat, manakala Jia Qi Chew menjuarai kategori wanita dengan catatan satu jam 33 minit 32 saat.
Untuk rekod, Maraton HSL Samarahan mula dianjurkan pada 2021 menerusi HSL Fitness Weekend dan pernah menjadi acara larian jalan raya utama pertama di Sarawak dan Sabah selepas pandemik Covid-19.
Acara anjuran bersama HSL, City Jogger’s Club dan Majlis Perbandaran Samarahan itu turut menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM50,000 kepada para pemenang.
Oleh Masrin Affirah