
KOTA SAMARAHAN: Samarahan Bike Challenge 2025 edisi ke-9 mencatat kejayaan membanggakan apabila menarik penyertaan ratusan peserta dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Brunei, China dan Kanada.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan kejohanan tersebut sebagai manifestasi kerjasama erat antara Pejabat Daerah Samarahan, Persatuan Berbasikal Sarawak, The Summer Shopping Mall, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi dan sukarelawan yang berganding bahu menjayakan penganjuran kali ini.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kementeriannya akan terus menyokong penganjuran Samarahan Bike Challenge bagi edisi ke-10 tahun hadapan dengan penekanan kepada aspek pelancongan sukan.
“Saya yakin kejohanan ini boleh diperbesarkan dengan penambahan kategori pertandingan dan peningkatan jumlah hadiah supaya lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara akan turut serta.
“Samarahan Bike Challenge bukan sahaja meriah dengan kehadiran peserta antarabangsa, malah memberi impak ekonomi positif apabila ramai peserta dan kru menginap di hotel dan inap desa tempatan serta menggunakan perkhidmatan makanan dan pengangkutan di sekitar kawasan ini,” katanya semasa majlis perasmian Samarahan Bike Challenge 2025 edisi ke-9, hari ini.

Dalam sidang media selepas majlis itu, beliau mendedahkan bahawa penstrukturan semula pengurusan sukan berbasikal negeri selepas prestasi hambar di Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lalu, kini menunjukkan hasil positif.
“Antara tindakan tegas yang kita ambil ialah menggugurkan jurulatih-jurulatih lama. Hasilnya, wakil muda Sarawak berjaya menyumbang 14 pingat termasuk pingat emas dalam Kejohanan Velodrom Kebangsaan di Johor,” katanya.
Beliau turut berbangga apabila Sarawak kini mula mencuri tumpuan dalam sukan velodrom, meskipun negeri ini masih belum memiliki kemudahan tersebut.
“Ini membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul dalam pembangunan sukan ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa cadangan pembinaan velodrom di Sarawak telah dibentangkan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kini dalam fasa perbincangan.
“Kita telah kemukakan cadangan itu dan berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat demi pembangunan sukan berbasikal secara menyeluruh di negeri ini,” katanya lagi.
-UKAS