
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan seorang ahli perniagaan iaitu Datuk Seri R. Jeyenderan untuk mendapatkan injunksi inter-parte dalam saman fitnahnya terhadap penyanyi rap Caprice.
Hakim Roslan Mat Nor turut memerintahkan Caprice, atau nama sebenarnya Ariz Ramli, membayar RM8,000 sebagai kos kepada Jeyenderan dalam tempoh dua minggu.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember ini sebagai pengurusan kes.
Terdahulu, mahkamah mendengar hujahan peguam V. Muniandy, Fiona Aurelia Culas dan Muhammad Afiq Yahawa yang mewakili ahli perniagaan itu serta peguam Muhammad Amar Shaaruddin, yang mewakili Caprice.
Pada 5 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan injunksi ad-interim yang dimohon Jeyenderan terhadap Caprice dan memerintahkan defendan agar segera memadan semua hantaran berunsur fitnah terhadap plaintif daripada akaun Instagram beliau, yang dimuat naik pada Julai.
Injunksi ad interim adalah perintah sementara yang diberikan oleh mahkamah sebelum perbicaraan penuh atau permohonan injunksi utama diputuskan manakala permohonan injunksi inter-parte pula membolehkan mahkamah mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Jeyenderan, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan, telah memfailkan saman itu pada 21 Julai lepas mendakwa defendan pada 10 Julai telah memuat naik beberapa hantaran di Instagram termasuk gambar serta video dirinya, yang didakwa mengaitkan beliau dengan aktiviti jenayah, gengsterisme dan ancaman bersenjata tanpa bukti yang sahih.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif berkata hantaran berunsur fitnah tersebut adalah bertujuan menimbulkan syak wasangka, kebencian awam dan tekanan sosial terhadap dirinya, dan defendan tidak pernah menghubungi beliau atau wakilnya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan sebelum menerbitkan dakwaan yang serius itu.
Jeyenderan mendakwa tindakan Caprice jelas menunjukkan bahawa defendan tidak mempunyai niat untuk menyampaikan maklumat yang adil dan tepat sebaliknya bertujuan mencemarkan nama baik serta reputasi beliau dan menyatakan bahawa penyanyi rap berkenaan memiliki pengaruh besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.
Akibat hantaran itu, Jeyenderan mendakwa reputasi beliau sebagai pakar perkapalan dan maritim bertaraf global telah terjejas serta mengalami kerugia khas berjumlah RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak sebagai penceramah utama di Dubai, Turkiye dan India yang ditawarkan oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Dubai.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta bagi kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am serta teladan, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Beliau turut memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan fitnah selanjutnya, memaksa defendan memadam semua kandungan fitnah yang telah diterbitkan serta memohon maaf secara terbuka di semua akaun media sosial milik atau yang dikawal oleh defendan. – Bernama