
SHAH ALAM: Individu yang disenaraihitamkan disebabkan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) boleh menyahaktifkan status berkenaan menerusi aplikasi MyJPJ bermula pada 18 Mac ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata langkah itu bagi memudahkan pengguna jalan raya menyelesaikan saman, sekali gus membolehkan mereka memperbaharu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.
“Jadi, pengguna yang dikenakan saman AWAS boleh memanfaatkan kemudahan ini dengan membuat bayaran terus melalui aplikasi MyJPJ.
“Bagaimanapun, tiada potongan diberikan terhadap saman lama kecuali saman AWAS yang diterima tahun ini yang ditawarkan potongan secara berperingkat antara RM150, RM200 dan RM300 mengikut tempoh bayaran dibuat,” katanya pada sidang media Ops Hari Raya dan SLD di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata bagaimanapun, pembayaran melalui MyJPJ tersebut tidak melibatkan saman Notis Temu Siasat (114) serta saman yang tidak boleh dikompaun kerana kes itu perlu diselesaikan di mahkamah.
Beliau berkata bagi individu yang dikenakan Notis Temu Siasat, mereka perlu hadir ke pejabat JPJ terlibat bagi melengkapkan siasatan terhadap kesalahan lalu lintas yang dilakukan.
“Jika mereka tidak hadir, status akan disenaraihitamkan dan mereka tetap perlu datang ke JPJ untuk menyelesaikannya,” katanya.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata bersempena dengan sambutan Aidilfitri, pihaknya akan menguatkuasakan Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan Road Ban selaras dengan pengumuman dibuat Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata langkah itu akan dikuatkuasakan selama empat hari, iaitu pada 19 hingga 20 Mac serta 28 hingga 29 Mac bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara.
-Bernama