KUALA LUMPUR: Inisiatif Sama-Sama Digital menyasarkan untuk memberi subsidi bernilai RM6.4 juta bagi menyokong pertumbuhan dan pembangunan 2,200 perniagaan kecil dan mikro bumiputera agar dapat bertahan dalam normal baharu menerusi digitalisasi.
Program yang dilancarkan semalam itu merupakan usaha Exabytes Network Sdn Bhd dan Ekuiti Nasional Bhd menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya, Iltizam, dengan disokong Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC); agensi yang bertanggungjawab ke atas domain MY, MYNIC; serta Bank Simpanan Nasional (BSN).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Exabytes, Chan Kee Siak berkata, sesetengah perniagaan masih teragak-agak atau menghindari digitalisasi kerana kos pendahulu yang perlu dilaburkan.
Beliau berkata, justeru, untuk menghapuskan kebimbangan itu, Sama-Sama Digital akan menyediakan subsidi bagi mengurangkan beban kos.
“Selain itu, e-penyelesaian perniagaan kami akan memudahkan proses tersebut. Bagi perniagaan kecil dan mikro yang masih mencari-cari untuk memulakan perniagaan e-dagang, kami menawarkan penyelesaian e-dagang lengkap kepada anda.
“Berasaskan subsidi keseluruhan bernilai RM2,200 penyelesaian e-dagang itu mengetengahkan Pelan Pemula Niaga e-Dagang yang didatangkan dengan kedai dalam talian, gerbang pembayaran, bengkel dan semua yang anda perlukan supaya perniagaan anda boleh beroperasi secara dalam talian hanya dalam tempoh tiga hari,” katanya semasa sidang media pada pelancaran secara maya itu semalam.
Bagi perniagaan kecil dan mikro yang telah sedia menerima guna digitalisasi, penyelesaian digital lengkap itu akan menyediakan geran padanan di antara MDEC dengan Iltizam bernilai sehingga RM10,000 serta pilihan beberapa pakej digital supaya perniagaan boleh mempertingkat tahap digital masing-masing dan terus berkembang di arena dalam talian.
Sementara itu, CEO MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, inisiatif berkenaan menyasar untuk membantu perniagaan kecil dan mikro agar dapat bersedia bagi ekonomi digital global.
“Susulan pandemik, digitalisasi sememangnya tidak dapat dielakkan dan di MYNIC, kami mahu membolehkan keterangkuman digital untuk perusahaan kecil dan sederhana bumiputera.
“Perniagaan bukan hanya dapat mencapai pasaran lebih luas, malah mereka boleh meraih manfaat menerusi inisiatif ini seperti meningkatkan jualan dan perolehan,” katanya.
Sama-Sama Digital juga mendapat kerjasama dengan sembilan rakan jangkauannya iaitu Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU); Dewan Perniagaan Melayu Malaysia; Precession Capital Bhd; SME Corp Malaysia; Mara Excellent Ventures Sdn Bhd; Perbadanan Nasional Bhd; Persatuan Peruncit Bumiputera dan Persatuan Tunas Usahawan Bumiputera Selangor.-Bernama