KUCHING: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM30,629,105.44 kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk melaksanakan program bekalan makanan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran wabak Covid-19.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah ini bagi penyaluran pertama, kedua, ketiga dan keempat kepada YKN untuk melaksanakan program bekalan makanan yang merupakan bakul makanan bernilai RM100 kepada ketua keluarga dalam tempoh tersebut.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mendapatkan profail penduduk (maklumat asas penduduk) mengikut kampung atau sesuatu kawasan penempatan khasnya kawasan berisiko tinggi daripada Pejabat Residen, Daerah, Penghulu, Ketua Kampung atau komuniti tempatan bagi langkah kesiapsiagaan menghadapi bencana terutamanya bagi jangkaan awal keperluan bencana,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Tambahnya, bantuan untuk mangsa banjir di Sarawak setakat 25 Februari lalu adalah RM 2,568,731.10.
“Dalam pada itu, jumlah kos bantuan untuk mangsa Covid-19 setakat 25 Februari 2021 adalah RM 5,638,339.00 manakala, untuk jumlah makanan kering yang disalurkan sebanyak 65,984 bungkus,” ujarnya.
Jelasnya lagi, aplikasi media digital yang digunakan JKM dalam menangani bencana seperti Facebook serta WhatsApp sangat efektif dalam penyampaian maklumat mengenai bencana sekaligus kesegeraan dalam menyalurkan bantuan bencana kepada mangsa yang memerlukan.
Sehubungan itu, maklumat bencana terkini yang sedang berlaku terutamanya banjir juga akan dikemaskini ke halaman web http://infobencanajkm.jkm.gov.my/ setelah disahkan oleh pihak SDMC ini bagi memastikan umum tahu keadaan dan servis yang dibuat oleh JKMS.
Oleh NUR AIN OTSMAN