PAKAN: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) mampu mengubah wilayah ini dan sudah bertahan agak lama dari satu kawasan ke kawasan lain sejak penubuhannya 50 tahun lalu.
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, ia bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan, malah juga perkara lain, seperti memiliki kilang sendiri termasuk dari segi ketersambungan.
“Ia (SALCRA) diakui berjaya meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar di wilayah ini ke arah positif.
“Saya yakin pembangunan yang diterajui pihak SALCRA membawa arus kemajuan dan kemodenan fasiliti serta kemudahan yang memberi keselesaan masayarakat terutama di pedalaman Sarawak,” katanya.
Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan berkata demikian ketika ditemui media pada majlis penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah George Chungut, petang semalam.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Martin Ben selaku wakil Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
William Mawan berkata 10 tahun lalu, SALCRA juga pernah dijadikan isu untuk dipolitikan demi kepentingan sesetengah pihak.
“Apabila anda bercakap tentang SALCRA, walaupun semua orang tahu ia akan mentransformasikan kawasan pedalaman, namun ada sesetengah pihak berkata ia merupakan satu sistem di mana mereka mahu merompak tanah rakyat. Tidak!
“Tetapi sekarang ia telah terbukti dengan pelan pembangunan yang benar-benar dapat membawa peluang ekonomi baharu kepada masyarakat, jadi sekarang ini mereka bersetuju (untuk bekerjasama),” katanya.
Oleh Earl Anek