
SAMA ada Sarawak dan Sabah mahu mewujudkan ‘Blok Borneo’ atau tidak, apa sebenarnya yang merisaukan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi portfolio undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim yang juga bekas ahli PKR.
Tidak salah andai betul usaha itu akan dilakukan tetapi jangan beri naratif seolah-olah untuk ‘mengawal’ Semenanjung menerusi perancangan politik seumpamanya.
Jangan melangkaui hakikat sebenar, dan memberi bayangan yang bukan-bukan.
Mengapa Zaid tidak mengulas panjang lebar tindakan lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera duduk semeja berbincang serta mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum seperti berlaku di Semenanjung sekarang?

Selain UMNO, tujuh lagi parti politik utama terbabit dalam pertemuan musyawarah baru-baru ini ialah PAS, PKR, AMANAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA, dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN).
Itu perancangan politik parti-parti terbabit yang mungkin berasa tertekan atau tidak puas hati terhadap isu-isu tertentu.
Kalau Sarawak dan Sabah berasa tertekan, tertindas dan janji banyak ‘dicapati’, sudah pasti akan wujud perasaan untuk bersuara lebih kuat, jitu dan sebagainya bagi mengharungi cabaran berterusan seperti itu. Salahkah?
Andai Sarawak dan Sabah, melakukan sesuatu untuk ‘ikatan bekerjasama’ bagi memperkuatkan ‘suara Borneo’, salahkah atau tidak bolehkah untuk bertindak mengumpulkan kekuatan tersendiri? Bukankah kekuatan itu akan berupaya mengekang sebarang ‘tindakan membuli’ Borneo?
Dalam kolum ini, penulis pernah menulis pada 15 Mei tahun lalu atas tajuk ‘Sabah mesti kuat seperti Sarawak, untuk tuntut hak MA63’
Ini kerana dalam usaha Sarawak dan Sabah menuntut dikembalikan 35 peratus kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sesuatu mesti dilakukan dengan dentuman kuat juga oleh rakyat Sabah, ‘politically speaking’.

Itu bab kerusi, tetapi banyak lagi isu tertunggak yang belum dilaksanakan mengikut MA63 atau dipenuhi termasuk isu penyerahan tuntutan 40 peratus hasil bersih diperoleh dari Sabah.
Hanya suara padu wakil Sarawak dan Sabah di Parlimen akan berupaya memperjuangkan hak-hak yang terhakis.
BUKAN BERSIFAT KENEGERIAN
Ini kerana kestabilan politik di Sabah dan Sarawak akan memberi impak lebih kuat bukan sahaja ketika menuntut dikembalikan 35 peratus kerusi Parlimen, malah selepas itu bagi memastikan kerusi Parlimen tambahan nanti diwakili oleh parti yang memperjuangkan MA63 dan kepentingan Borneo.
Namun, bagi sesetengah pihak kenyataan seperti itu bersifat kewilayahan atau kenegerian. Hakikatnya tidak, kerana tindakan itu cuma menuntut hak seperti dijanjikan di bawah MA63, bukan merampas hak orang lain.
Malah rakyat Sarawak dan Sabah sebenarnya bukan bersikap anti-Semenanjung, dan tetap mahu bernaung di bawah negara bernama Malaysia. Bila berlaku ketidakadilan, maka suara sumbang kedengaran yang dianggap sesetengah pihak sebagai ‘melawan’, ‘anti’ dan sebagainya.
Ramai rakyat Sarawak dan Sabah bukan sahaja bekerja di Semenanjung, malah berkeluarga di sana. Begitu juga rakyat Semenanjung di Sarawak dan Sabah, ada yang tidak mahu balik ke negeri asal setelah ‘jatuh cinta’ terhadap negeri di Borneo.
Biarlah kita hidup berharmoni, saling menghormati dan saling membantu kerana kita hidup di bawah satu payung Malaysia.

Namun dakwaan Zaid, kononnya Sabah dan Sarawak kini berada dalam kedudukan strategik untuk ‘mengawal’ Malaya menerusi perancangan politik dikenali sebagai Blok Borneo.
Hakikatnya Blok Borneo itu belum wujud dan cuma merujuk kepada kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Armizan Mohd Ali yang menggesa agar Sabah dan Sarawak bekerjasama untuk membentuk satu blok bersatu yang akan membantu mencorakkan Kerajaan Persekutuan serta memacu agenda terasnya.
Idea mengenai Blok Borneo sebenarnya berkembang secara berperingkat sejak pembentukan Malaysia pada 1963. Ia kemudian menjadi lebih jelas dalam politik moden terutama selepas pilihan raya umum 2018 dan 2022.
Apabila Barisan Nasional (BN) tumbang dalam PRU 2018, Sarawak mengambil jalan keluar dengan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Namun, idea penubuhan ‘Blok Borneo’ itu tidak pernah berlaku secara rasmi. Tidak mustahil ia menjadi kenyataan suatu hari nanti apabila matlamat bersama menjadi sasaran seperti bekerjasama untuk mendesak pelaksanaan hak-hak di bawah MA63.
Tetapi Zaid dilaporkan berkata, cadangan penubuhan blok Borneo itu satu contoh ‘bagaimana rakyat Sabah dan Sarawak yang pintar terus memperdaya dan mengawal Malaya’.
Peguam itu turut menuduh Sabah dan Sarawak mencabar undang-undang persekutuan dan menuntut ’30 perkara yang masih tertangguh daripada MA63′.
“Mereka berkata, blok Borneo itu adalah untuk memberi mereka keseimbangan dan kelebihan berunding. Tidak, mereka sudah pun memilikinya; kini mereka mahukan kawalan,” katanya seperti dilaporkan media.
Nescaya Zaid atau mana-mana pemimpin, tidak harus melihat Borneo sebagai ancaman.
BORNEO BUKAN ANCAMAN
Menuntut hak dan mahukan suara lebih di Parlimen melalui formula satu pertiga kerusi Parlimen di Dewan Rakyat dari Sarawak dan Sabah, bukan untuk ‘mengawal’ Semenanjung, sebaliknya ia janji MA63.
Pembentukan blok Borneo itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai satu cubaan untuk mendominasi Semenanjung, sebaliknya akan menyatukan suara Sabah dan Sarawak dalam usaha memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia Timur secara lebih teratur di Parlimen.
‘Blok Borneo’ bukanlah ciptaan politik tetapi manifestasi semula jadi dan sah bagi perwakilan persekutuan oleh pemimpin yang menyedari tanggungjawab mereka untuk melindungi hak, autonomi dan sumber wilayah masing masing dalam persekutuan.
Kemunculan suara yang lebih tersusun dari Sabah dan Sarawak mencerminkan kesedaran yang sudah lama tertangguh terhadap realiti perlembagaan.
Ini menunjukkan bahawa wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak tidak lagi bersedia untuk kekal pasif apabila keputusan yang memberi kesan kepada wilayah mereka ditentukan di tempat lain tanpa mengambil kira semangat serta perlindungan yang termaktub pada 1963.
Pengkritik harus meneliti semula sejarah Perlembagaan Malaysia sebelum menolak peranan ‘Blok Borneo’. Banyak ketegangan yang dibincangkan hari ini sebenarnya timbul kerana prinsip asas MA63 telah menyimpang daripada niat asalnya sepanjang beberapa dekad lalu.
Kini, Dewan Rakyat mempunyai sejumlah 222 kerusi membabitkan 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung Malaysia, manakala baki 56 kerusi atau 25 peratus adalah di Borneo iaitu 31 kerusi di Sarawak dan 25 kerusi di Sabah.
Maknanya, masih kurang 10 peratus untuk kuota satu pertiga atau 35 peratus.
Untuk memenuhi 35 peratus kerusi Parlimen di Dewan Rakyat, Sarawak dan Sabah perlu tambahan 21 kerusi lagi, menjadikan jumlahnya 77 kerusi Parlimen.
Tetapi jika kerusi Parlimen di negeri-negeri Semenanjung turut bertambah pada masa akan datang, ukurannya ialah kekal 35 peratus, sekali gus mengkehendaki kerusi Parlimen di Sarawak, Sabah secara automatik juga ditambah supaya tidak kurang satu pertiga.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak