Kecederaan hamstring berpotensi menamatkan perjalanan Mohamed Salah bersama Liverpool lebih awal, namun Virgil van Dijk menegaskan legenda Mesir itu tetap akan diraikan dengan penuh penghormatan. Foto AFP
LIVERPOOL: Kapten Liverpool, Virgil van Dijk yakin Mohamed Salah tetap akan menerima perpisahan yang selayaknya untuk karier gemilangnya bersama kelab itu, walaupun kecederaan mungkin menghalang bintang Mesir itu daripada beraksi lagi bersama The Reds.
Salah, yang bakal meninggalkan Anfield selepas sembilan tahun pada penghujung musim ini, terpaksa dikeluarkan akibat disyaki mengalami kecederaan hamstring ketika kemenangan 3-1 ke atas Crystal Palace, Sabtu lalu.
Liverpool kini menunggu keputusan imbasan bagi menentukan tahap kecederaan tersebut, namun dengan hanya berbaki empat perlawanan musim ini, pemain berusia 33 tahun itu mungkin tidak sempat beraksi lagi.
“Jika anda cedera pada tahap musim seperti ini, terutama dalam situasi dirinya, dengan hanya dua lagi perlawanan di laman sendiri, pelbagai perasaan pasti bermain di fikiran,” kata Van Dijk.
“Dia tetap akan mendapat penghormatan perpisahan itu walau apa pun. Namun itu bukan perkara utama ketika ini, kami tidak mahu terlalu memikirkan soal itu dahulu.
“Mengenali Mo, dia seorang yang cepat pulih dan dengan bantuan pasukan yang tepat di sekelilingnya, kita lihat nanti.”
Salah sudah meledak 257 gol dalam 440 penampilan sejak menyertai Liverpool pada 2017, hanya di belakang Ian Rush dan Roger Hunt dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu.
Pemain sayap itu menjadi tonggak kebangkitan Liverpool di pentas England dan Eropah dengan membantu kelab menjulang trofi Liga Juara-Juara serta dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Salah turut memenangi anugerah Pemain Terbaik Pilihan Pemain sebanyak tiga kali — satu rekod — selain muncul penjaring terbanyak Liga Perdana sebanyak empat kali. – AFP