ISTANBUL: Bekas bintang Liverpool, Mohamed Salah, tiba di Istanbul hari ini bagi melengkapkan perpindahannya ke kelab Turki, Trabzonspor, selepas meninggalkan gergasi Liga Perdana Inggeris itu sebaik kontraknya berakhir.
“Salah mode: ON,” tulis Trabzonspor di media sosial bersama gambar penyerang Mesir berusia 34 tahun itu menaiki jet peribadi sambil mengenakan jersi biru dan marun kelab berkenaan.
Kelab dari timur laut Turki itu pada Selasa mengumumkan mereka sudah memulakan “rundingan” dengan Salah, yang meninggalkan Liverpool selepas sembilan musim serta membantu kelab itu memenangi sembilan trofi.
Salah mendarat sekitar 9.00 pagi GMT di Istanbul dan disambut ratusan penyokong yang teruja, menurut wartawan AFP.
“Saya datang terus selepas tamat syif malam. Demi Mohamed Salah, saya sanggup berjaga semalaman lagi,” kata penyokong Trabzonspor, Abdul Kerim Yervan, kepada AFP.
Salah dijadual menjalani pemeriksaan kesihatan di Istanbul sebelum berlepas ke Trabzon pada hari yang sama.
Pemain sayap kanan itu dijangka menandatangani kontrak selama dua musim dengan pilihan lanjutan semusim lagi, dan bakal menerima gaji tahunan sebanyak €17 juta (RM87.6 juta), menurut beberapa media Turki.
Sepanjang bersama Liverpool, Salah menjaringkan 257 gol dalam 442 penampilan dalam semua pertandingan, sekali gus muncul penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah kelab itu.
Beliau turut meledak 193 gol dalam Liga Perdana Inggeris, termasuk 191 bersama Liverpool, meletakkannya di tangga keempat senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman di belakang Alan Shearer, Harry Kane dan Wayne Rooney.
Bagaimanapun, Salah bergelut bersama Liverpool musim lalu apabila hanya menjaringkan tujuh gol liga.
Penampilan terakhirnya di Piala Dunia menyaksikan beliau membantu Mesir mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama sejak 1934, namun pasukan itu mensia-siakan kelebihan dua gol sebelum tewas kepada Argentina yang muncul naib juara.
Sebelum ini, Salah turut dikaitkan dengan perpindahan ke Besiktas, pencabar Trabzonspor dalam Liga Super Turki.
Trabzonspor menamatkan saingan liga di tempat ketiga musim lalu, sembilan mata di hadapan Besiktas, sekali gus melayakkan diri ke pusingan play-off Liga Europa. – AFP





