
Mohamed Salah. Foto fail AFP
LIVERPOOL: Mohamed Salah menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai masa depannya selepas menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool hari ini.
Salah, 32, menjaringkan 243 gol dalam 394 penampilan sejak menyertai The Reds dari Roma pada 2017 sekali gus menjadikannya penjaring gol ketiga terbanyak dalam sejarah kelab.
Pemain Mesir itu yang akan menerima gaji baharu RM2.17 juta seminggu berbanding gaji lama RM2.02 juta seminggu, pernah memenangi trofi Liga Juara-Juara dan EPL sepanjang kariernya di Anfield dan membantu Liverpool semakin hampir meraih gelaran liga utama England yang ke-20.
Salah menjaringkan 27 gol dan mencipta 17 bantuan gol di EPL musim ini, meletakkan pasukan kendalian Arne Slot 11 mata di hadapan dengan berbaki tujuh perlawanan.
“Sudah tentu saya sangat teruja. Kami mempunyai pasukan yang hebat sekarang. Dahulu kami ada juga pasukan yang hebat. Tetapi saya menandatangani kontrak ini kerana saya rasa kami berpeluang memenangi trofi-trofi lain,” kata Salah dalam kenyataan kelab.
“Ia menakjubkan, saya melalui tahun-tahun terbaik saya di sini. Saya bermain selama lapan tahun, harapnya ia akan jadi 10 tahun. Saya menikmati hidup saya di sini, menikmati bola sepak saya. Saya alami tahun-tahun terbaik dalam kerjaya saya,” katanya. – AFP