Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Salah sebak bangga kembalikan Liverpool ke tempat sepatutnya
  • SUKAN

Salah sebak bangga kembalikan Liverpool ke tempat sepatutnya

Utusan Sarawak 5 hours ago

Mohamed Salah beraksi di atas padang selepas perlawanan terakhirnya bersama Liverpool FC yang berkesudahan seri 1-1 menentang Brentford FC dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield. Foto AFP

LIVERPOOL: Penyerang Mesir, Mohamed Salah, dalam nada penuh emosi berkata “kami telah mengembalikan kelab ini ke tempat yang sepatutnya” selepas beraksi dalam perlawanan terakhirnya bersama Liverpool FC awal pagi tadi.

Keputusan seri 1-1 di laman sendiri menentang Brentford FC pada aksi terakhir musim Liga Perdana menandakan berakhirnya tempoh sembilan tahun pemain berusia 33 tahun itu di Anfield.

Salah mengucapkan selamat tinggal bersama pertahanan Scotland, Andy Robertson, yang turut menyertai Liverpool pada 2017.

Salah menjaringkan 257 gol untuk Liverpool, hanya di belakang Ian Rush (346) dan Roger Hunt (285) dalam senarai penjaring terbanyak kelab itu.

Beliau turut memenangi pelbagai trofi bersama Liverpool termasuk Liga Juara-Juara  dan dua gelaran Liga Perdana Inggeris.

“Saya rasa saya menangis lebih banyak daripada sepanjang hidup saya,” kata Salah kepada Sky Sports selepas perlawanan menentang Brentford.

“Saya bukan seorang yang emosional.

“Kami membesar di sini, berkongsi segala-galanya dari awal hingga akhir,” katanya mengenai tempohnya bersama Robertson di Anfield. “Kami mengembalikan kelab ini ke tempat yang sepatutnya.”

Robertson juga tidak menyembunyikan emosinya apabila mengakui beliau “keletihan secara emosi” selepas aksi terakhirnya bersama Liverpool.

‘Keluarga kami’

“Pada masa akan datang, kami tahu kami sentiasa dialu-alukan kembali ke kelab ini. Ini bab besar dalam perjalanan hidup kami, tetapi bukan penamatnya.

“Yang paling penting sekarang, kami perlu berehat dan memberi tumpuan kepada Piala Dunia. Saya tahu ini keluarga kami dan kami akan sentiasa diterima kembali.”

Pemergian Salah diumumkan pada Mac selepas beliau memberitahu wartawan pada Disember bahawa hubungannya dengan pengurus Liverpool, Arne Slot, sudah retak.

Dalam hantaran media sosial selepas kekalahan kepada Aston Villa FC minggu lalu, Salah berkata beliau mahu melihat kembalinya “heavy metal football”, merujuk kepada pendekatan bekas pengendali Liverpool, Jürgen Klopp.

Namun beliau tetap diturunkan menentang Brentford, dengan nama Salah dan Robertson disambut sorakan gemuruh apabila diumumkan oleh pengacara stadium.

Sepanduk dalam kalangan penyokong turut meraikan kedua-dua pemain itu, termasuk tulisan “Thank You Legends” dan “We Have Gone From Great To Glory. Salah Is Our King”.

“Hebat seperti yang dijangka,” kata Slot mengenai sambutan buat Salah dan Robertson.

“Penyokong kami sentiasa ada cara untuk mencipta sesuatu yang istimewa dalam detik-detik indah dan bermakna.”

Salah merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan 29 gol ketika Liverpool muncul juara, namun prestasinya merosot musim ini apabila hanya meledak tujuh gol liga.

Keputusan seri dengan Brentford, ditambah kekalahan AFC Bournemouth kepada Manchester United FC, memastikan Liverpool menamatkan musim di tangga kelima liga sekali gus layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Memang sukar untuk meninggalkan Liverpool,” kata Salah.

“Itulah kehidupan. Saya melihat kembali perjalanan ini dan tertanya-tanya sama ada saya mahukan lebih daripada apa yang saya capai. Rasanya tidak.

“Kami memenangi segala-galanya. Kami dapat melihat kasih sayang penyokong dan itu paling penting bagi saya.

“Saya akan berada jauh dari sini. Saya akan sentiasa emosional setiap kali mengenangkannya. Saya harap pasukan ini terus berada di tahap tertinggi dan terus berjuang untuk segala-galanya.” – AFP

Continue Reading

Previous: Carrick anggap penamat tempat ketiga United ‘asas untuk dibina’
Next: Arsenal julang trofi Liga Perdana selepas tewaskan Palace

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.