LONDON: Liverpool menikmati hari sempurna apabila mereka bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Brighton 2-1 ketika pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City dan Arsenal kedua-duanya mengalami kekalahan malam tadi.
Mohamed Salah memastikan tiga mata buat Liverpool di Anfield untuk meletakkan pasukan kendalian Arne Slot dua mata di depan City yang dilanda kecederaan dan tumpas dalam liga buat kali pertama dalam tempoh 11 bulan, kecundang mengejut 2-1 di Bournemouth.
Arsenal tewas 1-0 di Newcastle United, bermakna anak buah Mikel Arteta hanya meraih satu mata menerusi tiga perlawanan terakhir mereka.
Mimpi indah Nottingham Forest musim ini berterusan apabila mereka membenam West Ham United 3-0 untuk melonjak ke tangga ketiga.
Liverpool mengumpul 25 mata daripada 10 perlawanan dengan City 23 manakala Forest 19.
Arsenal di tangga keempat dengan 18 mata sekalipun boleh tersingkir daripada kelompok empat teratas jika pasukan tangga kelima Aston Villa mengelak kekalahan di Tottenham Hotspur malam ini.
Slot menikmati permulaan terbaik oleh mana-mana pengurus Liverpool sejak menggantikan Jurgen Klopp dan kemenangan malam tadi adalah yang ke-13 buat pasukannya dalam 15 perlawanan bagi semua pertandingan.
Ketika kekalahan City dan Arsenal satu bonus, warga Belanda itu berkata beliau hanya memikirkan mengenai pasukannya sendiri.
“Bukan kerana keputusan itu tetapi ia terlalu istimewa kerana kami berdepan Arsenal minggu lalu yang juga pasukan kuat,” kata Slot.
“Hari ini kami berdepan kualiti dan idea sama mengenai bola sepak dan kedua-dua kali kami terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menang. Itulah yang menggembirakan hari saya, tidak semestinya keputusan daripada perlawanan lain.”
Liverpool ketinggalan selepas 14 minit menentang Brighton dengan pemain antarabangsa Turkiye, Ferdi Kadioglu melakukan rembatan mengagumkan ketika pelawat menguasai perlawanan.
Pasukan Slot bergelut untuk bangkit tetapi berjaya memecah kebuntuan apabila hantaran silang Cody Gakpo pada minit ke-69 terus masuk ke dalam gol sekali gus melonjakkan semula semangat mereka.
Tiga minit kemudian Salah melencongkan bola menakjubkan dari sebelah kanan kawasan penalti dan ia ternyata mencukupi.
“Gol kedua adalah keistimewaan Mo Salah,” kata Slot.
Bos City, Pep Guardiola mengeluh mengenai senarai kecederaan pasukannya menjelang aksi di Bournemouth dan pasukannya turun tanpa John Stones dan Ruben Dias selain beberapa pemain lain ketika rekod kelab tidak tewas dalam 32 perlawanan EPL berkubur.
“Kami tidak mampu menangani tekanan berterusan mereka,” kata Guardiola.
Bournemouth tumpas semua 14 perlawanan EPL menentang City sebelum ini dengan jaringan agregat 45-7 tetapi menamatkan rekod buruk itu ketika City tumpas buat kali kedua minggu ini selepas tersingkir pada pusingan keempat Piala Liga di tangan Tottenham Hotspur awal pagi Khamis lalu.
Bournemouth mendahului selepas sembilan minit apabila Antoine Semenyo merembat masuk hantaran silang leret daripada Milos Kerkez.
Evanilson menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-64 selepas satu lagi kerja keras Kerkez sebelum Josko Gvardiol mengurangkan defisit untuk mencetus penamat tegang dengan percubaan Erling Haaland terkena tiang gol dari jarak dekat.
Arsenal hanya melakukan satu percubaan tepat ke arah gol pada aksi lebih awal di St James’ Park bila mana tandukan awal penyerang Newcastle, Alexander Isak ternyata menjadi pemisah kedua-dua pasukan itu.
Forest menang aksi EPL ketiga berturut-turut buat kali pertama sejak tahun 1999 apabila mereka membenam West Ham.
Penyerang Chris Wood meletakkan pasukannya di depan menentang West Ham yang beraksi 10 pemain pada masa kecederaan babak pertama apabila Edson Alvarez dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Anthony Elanga.
Callum Hudson-Odoi menggandakan kelebihan Forest selepas rehat sebelum Ola Aina merembat masuk gol ketiga untuk menggembirakan peminat di City Ground.
“Saya fikir kami boleh maju lagi,” kata pengurus Forest, Nuno Espirito Santo selepas membantu pasukannya melonjak ke tangga ketiga EPL buat kali pertama sejak 1998.
Kelab baru naik divisyen Southampton meraikan kemenangan pertama EPL musim ini apabila Adam Armstrong meledak gol lewat untuk menewaskan Everton 1-0 di St Mary’s.