Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Salah hidupkan impian Mesir kejar kejuaraan AFCON
  • SUKAN

Salah hidupkan impian Mesir kejar kejuaraan AFCON

Utusan Sarawak 14 hours ago

Pemain Mesir, Mohamed Salah (kiri) meraikan jaringan gol ketiga pasukannya ketika menentang Ivory Coast dalam perlawanan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika di Agadir. Foto AFP

AGADIR: Mesir menamatkan cabaran juara bertahan Ivory Coast selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 dalam aksi suku akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), dengan Mohamed Salah terus menghidupkan impian menjulang kejuaraan benua itu buat kali pertama dalam kariernya.

Bintang Liverpool itu turut meledak gol ketika Mesir mencipta kejutan ke atas Ivory Coast, sekali gus melangkah ke separuh akhir untuk bertemu Senegal pada Rabu ini di Tangiers.

Dalam perlawanan penuh debaran itu, Omar Marmoush membuka jaringan seawal minit ketiga, sebelum Ramy Rabia menggandakan kelebihan menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Salah pada minit ke-32.

Ivory Coast merapatkan kedudukan sebelum rehat selepas pemain Mesir, Ahmed Aboul-Fetouh, tertanduk bola ke gawang sendiri.

Namun Salah memastikan Mesir kembali selesa apabila menyumbat gol ketiga seawal tujuh minit babak kedua, hasil hantaran kemas Emam Ashour.

Ivory Coast enggan mengalah dan kembali menghidupkan perlawanan menerusi jaringan Guela Doue pada minit ke-73, namun Mesir bertahan hingga wisel penamat untuk menyingkirkan juara bertahan.

Kemenangan di Agadir itu mengukuhkan dominasi Mesir ke atas Ivory Coast dalam sejarah AFCON, dengan Mesir kini mencatat 11 kemenangan berbanding hanya satu buat The Elephants sejak pertemuan pertama mereka 56 tahun lalu.

Ivory Coast pula menjadi pasukan kelapan berturut-turut gagal mempertahankan kejuaraan AFCON sejak Mesir melakukannya pada 2010.

Buat Salah, kejayaan ini membawa makna besar. Walaupun pernah memenangi Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab bersama Liverpool, trofi AFCON masih belum berada dalam koleksinya.

Pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini dua kali bergelar naib juara AFCON, tewas di final 2017 kepada Cameroon dan 2021 kepada Senegal.

Kini, Salah hanya dua perlawanan lagi untuk merealisasikan impian lamanya membantu Mesir menjulang kejuaraan AFCON buat kali kelapan – satu rekod baharu Afrika.

Mesir akan berdepan Senegal di separuh akhir, dengan pemenang bakal bertemu tuan rumah Maghribi atau Nigeria dalam perlawanan akhir empat hari kemudian. – AFP

Continue Reading

Previous: Semenyo bergaya penampilan sulung ketika Man City benam Exeter 10-1 
Next: Seu Bock sah kembali latih skuad perseorangan lelaki senior kebangsaan – Chong Wei

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.