
LONDON: Mohamed Salah dan Cody Gakpo masing-masing menjaringkan gol ketika Liverpool menewaskan Athletic Club 3-2 dalam perlawanan persahabatan pramusim kedua di Anfield, awal pagi tadi.
Selepas beberapa pemain simpanan beraksi ketika Liverpool menang 4-1 ke atas kelab Sepanyol itu dalam perlawanan awal sebelah petang, ketua jurulatih Arne Slot menurunkan barisan kesebelasan berbeza sepenuhnya untuk perlawanan berlangsung kemudian di sebelah malam.
Tuan rumah bermula dengan baik, dengan Gakpo dan Florian Wirtz hampir mencetak gol sebelum pemain baharu Hugo Ekitike membuat hantaran untuk membolehkan Salah menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke-14.
Walaupun Liverpool menguasai perlawanan, Athletic Club menyamakan kedudukan pada separuh masa pertama menerusi Oihan Sancet, yang mengambil kesempatan apabila pasukan Slot gagal mengeluarkan bola sepakan percuma yang masuk ke kawasan penalti.
Namun, Liverpool kembali mendahului selepas rehat apabila Gakpo menyempurnakan peluang hasil bola muntah daripada percubaan jarak jauh Ryan Gravenberch yang ditepis Unai Simón.

Athletic Club sekali lagi menyamakan kedudukan apabila Gakpo secara tidak sengaja menolak bola ke gawang sendiri hasil sepakan sudut.
Bagaimanapun, pemain antarabangsa Belanda itu segera menebus kesilapandengan menjaringkan gol kemenangan menerusi rembatan deras yang terlepas dari genggaman Simón, 20 minit sebelum tamat perlawanan.
Salah kemudiannya mensia-siakan peluang untuk menambah jaringan apabila sepakan penalti lewatnya melambung tinggi.
Dalam perlawanan pertama daripada dua aksi tersebut, pemain muda berusia 16 tahun Rio Ngumoha membuka tirai jaringan dengan larian menarik sekali gus meneruskan prestasi cemerlangnya sepanjang pramusim.
Pemain remaja itu kemudian bertindak sebagai pembantu, menanduk bola kepada Darwin Núñez yang menyudahkan dari jarak dekat dalam tempoh lima minit.
Gol daripada Ben Doak dan Harvey Elliott memastikan kemenangan buat juara Liga Perdana Inggeris itu sebelum Athletic Club merapatkan jurang menerusi tandukan Gorka Guruzeta pada separuh masa kedua.
Ia kali pertama Liverpool beraksi di Anfield sejak pemergian penyerang Diogo Jota dan abangnya, André Silva.
Bekas kapten Liverpool, Phil Thompson dan presiden Athletic Club, Jon Uriarte meletakkan karangan bunga di hadapan The Kop sebagai penghormatan.
Lagu khas untuk Jota turut bergema dari tempat duduk penyokong sepanjang malam, dan tepukan penghormatan diberikan pada minit ke-20 dalam kedua-dua perlawanan bagi menghormati nombor jersi Jota, yang disahkan oleh Liverpool akan dipersarakan bulan lalu.
“Saya rasa dalam kedua-dua perlawanan kami cipta banyak peluang, menjaringkan tujuh gol, empat dalam aksi pertama, tiga yang kedua, jadi itu sangat menggembirakan kerana kami sebenarnya tidak menjaringkan gol setiap peluang kami ada,” kata Slot kepada laman web rasmi Liverpool.
“Terutamanya dalam separuh masa pertama perlawanan kedua, saya rasa kami boleh jaring beberapa gol lagi. Jadi perkara paling menggembirakan saya adalah keupayaan mencipta peluang dan juga untuk menjaringkan tujuh gol dalam dua perlawanan satu pencapaian yang baik.”
Liverpool akan ke Wembley pada Ahad untuk menentang juara Piala FA, Crystal Palace dalam perlawanan Perisai Komuniti FA sebelum memulakan kempen Liga Perdana Inggeris mereka menentang Bournemouth di Anfield pada 14 Ogos.