
KOTA KINABALU: Salah faham antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berkaitan penggunaan indikator sedia ada di tangki R13 dikenal pasti sebagai punca gangguan dan ketidakstabilan bekalan air di kampus berkenaan sebelum ini.
Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Kerja Raya negeri Datuk Shahelmey Yahya berkata isu tersebut sedang ditangani dengan langkah menggantikan indikator sedia ada kepada indikator digital, yang telah ditempah dan dijangka dipasang dalam tempoh seminggu.
“Beberapa siri perbincangan antara JANS dan UMS yang diselaraskan oleh Kementerian Kerja Raya Sabah serta lawatan tapak ke UMS sudah diadakan. Kesimpulan yang dicapai menunjukkan berlaku salah faham hingga menjejaskan penyaluran bekalan air.
“Namun, isu itu kini dalam proses penyelesaian dan berdasarkan pemantauan sejak pertengahan Mei lalu, bekalan air di UMS berada dalam keadaan stabil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, JANS dan UMS juga diminta memperkukuh kerjasama bagi menangani kekangan lain termasuk kecurian air, kerja pemasangan paip yang belum selesai serta faktor teknikal lain.
Shahelmey berkata menerusi perbincangan, kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dari sudut teknikal dan komunikasi bagi memastikan aliran air ke tangki R13 mencukupi serta pengoperasian pam berjalan lancar.
“UMS juga perlu memastikan agihan dalaman air kampus teratur. JANS bersedia memberi khidmat nasihat dan kerjasama dalam aspek pengendalian agihan dalaman jika diperlukan,” katanya.
Mengulas perkembangan lain, Shahelmey berkata pemasangan paip projek Telibong II Fasa II kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap awal bulan depan yang bakal meningkatkan agihan air di kawasan Sepanggar dan Kota Kinabalu Utara.
“Apabila siap, ia dijangka dapat meningkatkan agihan air di kawasan terjejas dan mengurangkan masalah gangguan bekalan,” katanya.
Sementara itu, projek Skim Bekalan Air Segera (UWSS) di Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui, Penampang yang sepatutnya siap pada April lalu mengalami kelewatan berikutan beberapa kekangan termasuk cuaca tidak menentu.
“Saya difahamkan projek itu dijangka siap sepenuhnya awal Julai ini dan akan memberi manfaat kepada pengguna di Penampang, Putatan, Kota Kinabalu serta kawasan sekitarnya,” katanya.
-Bernama