Salah memberi tepukan kepada penyokong ketika meninggalkan padang selepas digantikan dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Galatasaray di Anfield. Foto AFP.
LONDON: Mohamed Salah akan terlepas aksi penting Liverpool menentang Brighton & Hove Albion malam esok selepas mengalami kecederaan otot – satu tamparan besar buat pengendali Arne Slot dalam usaha memburu tempat ke Liga Juara-Juara UEFA musim depan.
Penyerang Mesir itu terpaksa dikeluarkan di Anfield pada Rabu selepas sempat menjaringkan gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Galatasaray S.K yang mengesahkan kemaraan The Reds ke suku akhir kejohanan berprestij Eropah itu.
Salah, 33, kini kembali menemui sentuhan jaringan apabila meledak gol dalam tiga daripada empat penampilan terakhirnya selepas melalui kemarau jaringan yang jarang berlaku.
“Ini situasi luar biasa,” kata Slot. “Dia tidak tersedia untuk perlawanan esok.” Jurulatih dari Belanda itu bagaimanapun tidak memberikan tempoh pemulihan tepat buat bintang utamanya.
Slot berharap rehat antarabangsa dapat membantu proses pemulihan Salah yang terkenal menjaga kecergasan diri.
Namun, ketiadaan tonggak utama itu tetap merisaukan Liverpool yang kini bergelut dari segi ketajaman penyudah.
Walaupun prestasi individu Salah kembali meningkat, dia setakat ini hanya menjaringkan lima gol Liga Perdana musim ini — jauh merosot berbanding 29 gol ketika membantu Liverpool menjulang kejuaraan liga pada musim 2024/25.
Liverpool kini berada di tangga kelima liga, dua mata di belakang Aston Villa dengan lima pasukan teratas hampir pasti layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Skuad kendalian Slot bakal berdepan Manchester City dalam suku akhir Piala FA pada 4 April sebelum bertemu juara bertahan Paris Saint-Germain di pentas suku akhir Liga Juara-Juara. – AFP