LIVERPOOL, England: Mohamed Salah berkata dia mempunyai motivasi untuk melakukan “sesuatu yang istimewa” dalam apa yang dipercayai tahun terakhirnya di Liverpool.
Pemain berusia 32 tahun itu, yang mana kontraknya berakhir hujung musim ini, bertindak cemerlang akhir-akhir ini, melonjak pasukan kendalian Arne Slot enam mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Penyerang Mesir itu menyumbat 17 gol dan mencipta 13 umpanan gol dalam 18 aksi EPL musim ini menjelang kunjungan kelab bergelut Manchester United ke Anfield, malam esok.
Laporan menyebut Salah hampir memuktamadkan satu perjanjian bersama Liverpool tetapi dia menyatakan ia masih “terlalu jauh” selepas kemenangan 5-0 di West Ham hujung minggu lalu.
Salah sebahagian daripada skuad yang menamatkan penantian 30 tahun Liverpool untuk memenangi kejuaraan liga pada tahun 2020, namun sambutan kemenangan itu hambar selepas pemain menjulang trofi di Anfield dalam suasana tanpa penonton ketika pandemik COVID-19.
“Ia tahun terakhir saya di kelab ini jadi anda mahu melakukan sesuatu yang istimewa buat bandar ini,” kata Salah kepada Sky Sports dalam satu temu ramah yang disiarkan semalam.
“Kami menunggu kejuaraan itu selama 30 tahun. Jadi, untuk memenanginya dan ia waktu pandemik ketika itu, kami tidak benar-benar mempunyai masa untuk meraikannya dengan cara yang tepat. Ia bukannya perkara yang bagus untuk melakukannya, jadi harapnya kami boleh melakukannya tahun ini.”
Salah bukan satu-satunya pemain bintang berprofil tinggi Liverpool yang tamat kontrak hujung musim ini.
Kapten Virgil van Dijk dan pertahanan kanan England, Trent Alexander-Arnold kini turut bebas untuk berunding dengan kelab luar negara bagi musim depan.
Bersama mereka berjaya mengembalikan Liverpool ke puncak liga Inggeris dan Eropah.
Di bawah pengurus terdahulu Jurgen Klopp, mereka berjaya menyapu bersih trofi termasuk Liga Juara-Juara, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga.
Namun Piala Liga satu-satunya trofi yang mereka menangi lebih sekali dan Salah percaya generasinya perlukan kejuaraan kedua EPL untuk mengukuhkan legasi mereka.
“Motivasi saya tahun ini untuk menang satu trofi dan menjadi sebahagian besar daripada kejayaan memenangi trofi itu, terutamanya Liga Perdana,” katanya.
“Saya masih percaya pasukan memerlukan satu trofi. Masih ada separuh daripada pasukan seperti saya, Trent, Virgil, Alisson (Becker), Robbo (Andy Robertson).
“Kami perlu menang satu lagi trofi sebelum kami berundur.” – AFP