
ARLINGTON, Amerika Syarikat: Mohamed Salah mengakui beliau hanya membuat keputusan pada saat akhir untuk melakukan sepakan penalti gaya Panenka ketika berdepan tekanan hebat, sekali gus membantu Mesir mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia pada perlawanan 2.00 pagi tadi (waktu Malaysia).
Bekas bintang Liverpool dan kapten Mesir itu menjadi penyepak ketiga dalam penentuan sepakan penalti sebelum menyempurnakan sepakan bergaya Panenka ketika Mesir menewaskan Australia 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Texas.
Mesir, yang mencipta sejarah dengan memenangi perlawanan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama, akan menentang Argentina yang diketuai Lionel Messi selepas juara bertahan itu menewaskan Cape Verde.

Salah, 34, jelas masih dibelenggu kecederaan hamstring, namun tetap beraksi sepanjang 120 minit sebelum memikul tanggungjawab ketika pasukannya amat memerlukan khidmatnya.
“Jika ada seseorang yang perlu melakukannya, biarlah saya. Saya lebih berpengalaman berbanding pemain lain dan saya mahu memberikan mereka keyakinan,” kata Salah yang kelihatan sebak selepas perlawanan.
“Saya membuat keputusan pada saat akhir. Saya memang perlu melakukannya.”
Salah menyifatkan kejayaan itu sebagai detik bersejarah buat Mesir serta menggesa rakan sepasukannya agar menikmati saat berkenaan selepas skuad The Pharaohs akhirnya mencipta nama di pentas terbesar bola sepak dunia.

Piala Dunia kali ini berkemungkinan menjadi penampilan terakhir Salah, namun beliau menegaskan setiap detik perlu dihargai.
“Saya sentiasa cuba menikmati setiap detik kerana ia tidak akan kembali lagi.
“Justeru, saya sentiasa berpesan kepada rakan sepasukan supaya menikmati saat ini. Kita akan lihat nanti bagaimana kami meraikannya di luar bas pasukan.
“Namun, kami tidak boleh mengambil mudah kerana Mesir tidak pernah melepasi peringkat kumpulan, apatah lagi mara ke pusingan seterusnya. Jadi, inilah saat yang perlu kami nikmati,” katanya.
Jurulatih Mesir, Hossam Hassan, sebelum ini mengakui beliau “tidak pasti” sama ada tonggak utama pasukan itu cukup cergas untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, Hassan tetap menyenaraikan Salah dalam kesebelasan utama bersama penyerang Manchester City, Omar Marmoush.
Selain menyempurnakan sepakan penalti dalam penentuan itu, Salah kini mengumpul satu gol dan dua bantuan jaringan sepanjang kempen Piala Dunia 2026 di Amerika Utara, selain mengekalkan purata satu gol bagi setiap dua perlawanan bersama Mesir. – AFP