
KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kanan Petronas memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau ada menerima aduan berhubung tindakan bekas pengurus Petronas Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni menghantar maklumat sulit berkaitan perniagaan dan struktur kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Pengurus Kanan Complaint Management (CM) Petronas, Laila Badriah Razali, 45, berkata beliau menerima aduan tersebut menerusi e-mel saluran Petronas Whistleblowing (WB) daripada e-mel peribadi seorang pengadu pada 10.00 pagi, 6 Disember 2024.
“Mengikut kandungan aduan yang diterima melalui e-mel tersebut, pengadu memaklumkan bahawa Mohd Khairul Akmal telah menghantar maklumat sulit berkaitan prestasi suku pertama tahun 2024 bagi Upstream Business milik Petronas melalui e-mel peribadinya kepada pihak Petros.
“Maklumat tersebut dihantar kepada dua alamat e-mel pada 8 Jun 2024. Aduan tersebut hanya diterima oleh pihak kami pada 6 Disember 2024 dan sebelum tarikh tersebut, kami tidak pernah menerima sebarang aduan yang serupa termasuk pada Jun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes Mohd Khairul Akmal yang berdepan pertuduhan cuba mendedahkan laporan berkenaan kepada Petros pada Jun 2024.
Saksi pendakwaan keempat itu berkata selepas menerima aduan berkenaan, beliau terus membawa perkara itu kepada Chief Integrity Officer (CIO), iaitu Mohamad Zakkuan Talib selaku Pengerusi Whistleblowing Committee.
“Setelah semakan dibuat, Mohamad Zakkuan memutuskan supaya aduan tersebut dirujuk kepada pihak Human Resource-Industrial Relations (HR-IR) untuk siasatan lanjut.
“Susulan arahan tersebut, saya telah menghantar e-mel kepada Wardati dan Jumsuri (bekas Pengurus Kanan Perhubungan Perusahaan Petronas yang juga saksi pendakwaan pertama Jumsuri Basri) pada 6 Disember 2024 kira-kira 12.36 tengah hari,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Mohd Radzuan.
Noor Syafina: Dalam kandungan e-mel ini (Wardati dan Jumsuri), Puan (Laila Badriah) ada menyebut “berdasarkan penilaian Sekretariat WB, didapati pengadu pada mulanya telah mengemukakan aduan yang sama pada 8 Jun 2024 tetapi telah menarik balik e-mel itu sebelum pendaftaran kes dibuat oleh sekretariat. Apa maksud Puan?
Laila Badriah: Dalam e-mel yang diterima daripada pengadu, e-mel asal menunjukkan ia telah dihantar pada 8 Jun, namun pihak kami hanya menerima e-mel ini pada 6 Disember dan bukan pada 8 Jun sebab kalau ikutkan di dalam itu (rekod e-mel) tertera dia dah recall (tarik balik).
Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Louis Liaw Vern Xien mewakili Mohd Khairul Akmal, saksi itu berkata dia tidak bertanya kepada pengadu mengapa aduan pada 8 Jun ditarik balik.
Laila Badriah bersetuju dengan peguam berkenaan bahawa aduan tersebut sepatutnya dibuat pada Jun 2024 bukan beberapa bulan selepas itu.
Mohd Khairul Akmal, 41, didakwa cuba melakukan pendedahan maklumat, iaitu satu dokumen bertajuk “Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada Petros, yang dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024.
Pertuduhan mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga setahun, manakala Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A(1), jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung 22 September ini.- Bernama