Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Saksi mengaku bawa Zara Qairina ke bilik lain untuk pemeriksaan mengejut
  • MAHKAMAH

Saksi mengaku bawa Zara Qairina ke bilik lain untuk pemeriksaan mengejut

Utusan Sarawak 2 hours ago
GAMBAR hiasan.

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini, bahawa dia membawa Zara Qairina Mahathir ke bilik lain bagi membolehkan pemeriksaan almari dan barangan milik Allahyarham dilakukan pada malam 15 Julai lepas.

Keterangan itu diberikan oleh saksi kanak-kanak ke-29, yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada hari ke-33 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Berkongsi keterangan saksi, peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh yang mewakili ibu Zara Qairina berkata saksi bertindak sedemikian selepas beberapa pelajar dorm lain memutuskan untuk membuat pemeriksaan mengejut terhadap barangan Allahyarham, berikutan kejadian kehilangan wang, pin bendera dan pakaian di asrama berkenaan.

Beliau berkata semasa Zara Qairina sudah berada di bilik lain itu, saksi kembali semula ke bilik Allahyarham dan meninggalkan Zara Qairina di bilik itu bersama pelajar junior.

Mohd Syarulnizam berkata saksi juga meminta pelajar junior itu untuk membawa Zara Qairina bercerita dengan lebih lama supaya mereka boleh membuat pemeriksaan mengejut di dorm tanpa pengetahuan Zara Qairina.

“Saksi berkata bila dia memeriksa beg Zara Qairina, dia ada menjumpai satu pin bendera kepunyaan pelajar senior dan satu lagi pin bendera kepunyaan pelajar junior di poket seluar Zara Qairina. Saksi menyerahkan sendiri pin bendera berkenaan kepada pelajar senior,” kata peguam itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding.

Mohd Syarulnizam berkata selepas pemeriksaan mengejut di bilik Zara Qairina, saksi kemudian lalu di sebuah lagi bilik lain dan melihat dengan jelas ada beberapa pelajar senior di sekeliling Zara Qairina, namun saksi tidak masuk campur dan pergi ke aras bawah untuk menyeterika baju.

Beliau berkata setelah selesai menyeterika, saksi mendapati Zara Qairina sudah kembali ke biliknya dan melihat Zara Qairina menangis dan menjerit “Aku nda curi bah” (aku tidak curi) dalam keadaan tertekan.

“Saksi berkata tiada sesiapa berani menenangkan Zara Qairina ketika itu, termasuk dia sendiri kerana saksi tidak berani menenangkan Zara Qairina bila dia (Zara Qairina) dalam keadaan marah.

“Saksi tidak pernah melihat arwah dibuli secara fizikal, namun mengakui wujud suasana ejekan dan sindiran antara pelajar-pelajar senior dan junior lain terhadap Zara Qairina,” katanya.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.

Prosiding inkues bersambung esok.

-BERNAMA

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Dua lelaki di Kuching didenda RM50,000 kerana curi elektrik
Next: Nahas UPSI: Syarikat gagal patuhi lesen didenda RM20,000

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.