
KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior yang merupakan ahli Badan Dakwah dan Rohani (Badar) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa dia mengetahui mengenai ejekan ‘Sok Sok Badar’ oleh pelajar lain terhadap Zara Qairina Mahathir.
Keterangan itu diberikan oleh saksi kanak-kanak ke-23 yang juga penghuni asrama di blok sama dengan Zara Qairina pada hari ke-29 prosiding inkues mengenai kematian remaja berkenaan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Berkongsi keterangan saksi, peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Zara Qairina berkata saksi memberitahu bahawa perkara itu bermula apabila Zara Qairina mula mencatat nama-nama pelajar yang tidak solat walaupun tidak ada yang menyuruh pelajar Tingkatan Satu itu berbuat demikian.
“Kata saksi, dia cuma berdiam dan tidak ada menyuruh Zara Qairina berhenti catat nama,” kata Rizwandean ketika berkongsi kenyataan saksi kepada pemberita selepas prosiding.
Peguam itu berkata saksi memberitahu tanggungjawab ahli Badar adalah mengurus program dakwah, surau serta aktiviti berkaitan agama, selain bertugas bertanya alasan kepada pelajar yang tidak menunaikan solat jemaah, dan sekiranya tiada sebab kukuh, nama pelajar terbabit akan dicatat.
Beliau berkata saksi memberitahu bahawa dia mengenali Zara Qairina sebagai pelajar junior yang tinggal di blok asrama sama tetapi tidak satu bilik dan sering berjumpa remaja itu di asrama, surau serta sekolah sekitar April lepas, selain menyatakan Zara Qairina mahu berkawan dengannya.
Saksi turut mendedahkan Zara Qairina seorang yang baik, ceria, peramah, suka senyum, memberi salam dan hormat kepada pelajar senior malah saksi juga suka berkawan dengan pelajar itu namun tidak rapat.
“Menurut saksi, Zara Qairina pernah wish ‘Good luck‘ kepada saksi sebelum 16 Julai lepas kerana saksi terlibat dalam pertandingan hoki,” kata Rizwandean, sambil menambah, saksi memberitahu seingatnya dia pernah mengajar mata pelajaran bahasa Arab kepada Zara Qairina kerana pelajar itu pernah meminta bantuan.
Sementara itu, peguam Joan Goh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina berkata saksi tersebut turut memberitahu kali terakhir berjumpa dengan Zara Qairina ialah pada 15 Julai lepas, lebih kurang 2 petang di surau.
“Kata saksi, dia tidak tahu apa-apa yang berlaku sebelum Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan longkang kerana saksi tidur pada masa kejadian,” katanya, sambil menambah saksi memberitahu Zara Qairina tidak pernah menceritakan apa-apa aduan dibuli oleh sesiapa.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai.
Prosiding inkues bersambung esok.
-BERNAMA