Oleh Rosani Hiplee
BULAN September, sekali lagi menyaksikan memorial nasionalisme negara apabila tanggal 16 September di proklamasi sebagai Hari Malaysia. Selain itu, tahun 2023 juga menandakan bahawa sudah enam dekad atau 60 tahun, gabungan wilayah kita mencapai kesepakatannya dalam memperkukuh pembentukan Malaysia. Peristiwa bersejarah ini merupakan titik penting kepada pencapaian negara kita, Malaysia sehingga ke hari ini. Keharmonian, kemakmuran dan kedamaian yang dikecapi sejak tahun 1963 hingga kini merupakan anugerah terbesar Tuhan terhadap perjuangan berdaulat leluhur bangsa dan pemimpin negara kita.
Oleh itu, apabila editor menghimpunkan sejumlah sajak yang bertemakan patriotisme, terutama yang berkaitan perjuangan kemerdekaan untuk siaran kali ini sebagai menepati dan menyemarakkan semangat nasionalisme dalam sajak adalah wajar bagi menginspirasi dan menyantuni imarah Hari Malaysia. Mudah-mudahan daripada sajak-sajak yang disiarkan tersebut, khalayak pembaca akan menemukan sesuatu yang baharu dan menyegarkan rasa cinta negara yang lebih tuntas pemaknaannya.
Maka, tahniah dan syabas kepada penulis muda seperti Niniefadzillea Iswandi, Wan L.S @ Wan Mahala Wan Ini dan Masnini Yani Shukri kerana sajak mereka telah disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), akhbar Utusan Sarawak pada hari Khamis yang lepas. Semoga lahar patriotisme yang dialirkan lewat aksara kreatif mereka akan mencapai ke wadah yang lebih mapan lagunnya.
Sajak “Malaysiaku Terus Merdeka” oleh Niniefadzillea Iswandi bertemakan kemerdekaan negara kita. Menerusi sajak ini, penulis mengajak khalayak pembaca untuk menghayati nilai kemerdekaan negara dalam konteks dulu, kini dan masa depan. Penulis mengimbau detik kemerdekaan negara yang dilaungkan. Persoalan ini jelas dalam larik-larik rangkap pertama berikut;
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
66 kali laungan keramat ini kedengaran
Tanda peringatan sejarah permulaan
Terbentuknya sebuah persekutuan
… .
(sajak “Malaysiaku Terus Merdeka”)
Laungan kata “Merdeka!” oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra semasa Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan negara menurut catatan adalah sebanyak tujuh kali, tapi di dalam rangkap ini, penulis menyatakan laungan “Merdeka!” sebanyak 66 kali sebagai memorial nasionalisme. Hal ini pada awalnya mengelirukan pembacaan, tapi yang dimaksudkan penulis rupa-rupanya ialah usia kemerdekaan Tanah Melayu yang sudah mencapai usia 66 tahun pada tahun 2023.
Manakala dalam larik rangkap kedua sajak, penulis menyentuh soal propaganda pimpinan kerajaan semasa yang beraspirasikan konsep MADANI. Persoalan ini memberi gambaran nasionalisme yang cuba diterapkan dalam membina rakyat Malaysia yang berhemah dan hidup harmoni. Misalnya;
Malaysia Madani kini tunjang kemampanan
Agar kesejahteraan rakyat diutamakan
Dalam segenap usaha dan perancangan
… .
(sajak “Malaysiaku Terus Merdeka”)
Menerusi rangkap terakhir sajak pula, penulis menukilkan kebanggaannya terhadap pencapaian negara dengan berharap Malaysia terus maju dan gemilang dalam menempuh apa-apa jua cabaran era baharu. Misalnya;
Maju gemilang Malaysia kebanggaanku
Agar terus gagah menuju era baharu
Lambang kesatuan rakyat yang padu
Adat dan budaya tetap ditatang selalu
Yakinlah! Maralah! Di seantero dunia ini
Setia berbakti demi negara yang dijulang tinggi
Inilah janji dan harapan setiap warga
Aman, makmur dan merdeka selamanya.
(sajak “Malaysiaku Terus Merdeka”)
Sesungguhnya menerusi sajak ini, penulis menyatakan bahawa kemerdekaan negara telah dicapai dengan tuntas apabila pencapaian negara kini telah mencapai taraf kemajuan dan kehidupan rakyat pun maju, makmur dan aman.
Sajak ini berbentuk bebas kerana tiada keterikatan pengolahannya seperti kelaziman puisi tradisional. Sajak ini juga agak panjang bagi mengungkapkan tema dan persoalan yang ada. Sajak ini dibina daripada tiga buah rangkap yang sederhana larik-lariknya.
Gaya bahasa sajak biasa dan bersahaja. Pemilihan katanya mudah difahami. Penggunaan unsur-unsur persajakan seperti simile, perlambangan, personifikasi, metafora dan lain-lainnya masih perlu diolah dengan lebih segar dan mendasar pemaknaannya kerana sajak patriotik merupakan memorial nasionalis yang berjiwa besar bagi menginspirasikan pembacanya.
Penulis cukup baik dengan pemilihan kata dalam pembinaan rangkap sajak yang ditulis. Syabas! Cuma untuk sajak yang bertema patriotisme disarankan agar penulis menerokai sesuatu yang lebih tegar persoalan yang diteliti agar sajaknya benar-benar merupakan sebuah memorial nasionalisme yang membangkitkan semangat kenegaraan yang tulus dan kritis. Barangkali penulis boleh menulis sebuah sajak epos atau kepahlawanan untuk diketengahkan kepada pembaca sebagai sebuah perkongsian yang jitu dan unggul. Kendatipun penulis boleh berimplikasi pada usaha berjuang “melawan” dominasi neokapitalisme, korupsi, kemiskinan, kesenjangan sosial dan sebagainya. Justeru seteru atau penakhluk negara bangsa era digital kini berbentuk halimunan dan menyelinap senyap dengan senjata yang bagaikan parasit tanpa belas.
Sajak “Rintihan Mama di Persada Merdeka” oleh Wan L.S @ Wan Mahala Wan pun bertemakan kemerdekaan negara tapi daripada pendekatan persoalan yang sedikit berbeza. Pada keseluruhan sajak ini, penulis membicarakan tentang penjajahan baharu yang sepertinya kurang disedari oleh generasi mutakhir. Sajak ini menarik pada kesederhanaan olahan sinis penulisnya. Misalnya;
Anakku
Hari itu mama lihat
Selubung melitupi keindahanmu
Keayuanmu tertampan di pandangan
… .
Tetapi anakku
Hari ini mama lihat
Calitan noda menghiasi rupamu
Pesonamu kauserlahkan di bingkai tak bermaruah
… .
(Sajak “Rintihan Mama di Persada Merdeka”)
Menerusi beberapa buah rangkap terakhir sajak, penulis menyeru agar anak-anak atau generasi muda semasa agar segera menyedari kealpaan yang sedang mendominasi pemikiran dan gaya kehidupan yang menyimpang daripada jati diri bangsa Nusantara yang maskulin dan sejati. Misalnya;
Anakku
Sedarlah, bangunlah,
Bangkitlah kau dari kealpaanmu
sedarlah kau dari igauanmu
Tidakkah kau tahu? Tidakkah kau mengerti?
Kita sudah bebas kita sudah merdeka
… .
Kau dijajah nafsumu
Kau diratah mimpi alpamu
Kau lupa pedoman datukmu
Kau tersasar pesan moyangmu
Kau sisihkan ayahmu
Kau lupakan aku mamamu
Mama yang ajarmu tentang adab
Mama yang ajarmu tentang adat.
Anakku, inikah kemerdekaan bagimu?
(Sajak “Rintihan Mama di Persada Merdeka”)
Sajak ini pun berbentuk bebas dan menepati kriteria puisi moden kerana tiada keterikatan pada perulangan rima akhir yang sama seperti syair atau pantun. Sajak ini juga dibina daripada tujuh rangkap yang agak lewah bagi menyatakan persoalan yang mahu diungkapkan.
Gaya bahasa sajak juga biasa dan bersahaja. Pemilihan katanya mudah difahami. Malah, masih terdapat beberapa larik kata sajak yang masih boleh diberikan sentuhan semula agar kesan sajak lebih menggugah, berimpak dan menyeluruh. Oleh itu, penulis disarankan agar memberi perhatian semula pada penggunaan kosa kata yang sama tapi bukan dengan tujuan penegasan. Misalnya, kata “dijajah”, “diratah” dan “sedarlah” telah digunakan sebanyak tiga kali dalam rangkap yang berbeza. Pengulangan kata yang sama seperti itu menggambarkan bahawa penulis sebagai individu yang kurang penguasaan kosa kata. Apabila menulis sajak, sebaik-baiknya penulis mencermati dan cerewet dengan pemilihan kata yang digunakan. Seperti kata Sasterawan Negara, Dr. Rahman Shaari, orang yang mahir berbahasa belum pasti mahir bersastera tapi orang mahir bersastera pasti mahir berbahasa.
Apabila menulis sajak, jangan pernah lewah dalam penggunaan kata kerana ia akan mengurangi mutu persembahan sajak yang ditulis. Pemilihan kata yang sesuai dan tepat pasti membekaskan makna yang tuntas dalam penghayatan pembaca untuk tempoh waktu yang panjang. Kata “mama” yang digunakan penulis dalam persepsi sajak ini secara peribadinya kurang menyeluruh. Panggilan mama masih bernuansa moden dan asing dalam budaya tipikal tempatan. Oleh itu, disarankan kepada penulis jika menulis sajak yang bertema nasionalisme, pilihlah panggilan yang lebih bernada leluhur bangsanya seperti mak, ibu atau ibunda kerana ia akan memberi impak lebih ketimuran dan asli peribuminya. Dalam sajak ini, penulis turut menekankan pesan moral dan ketinggian susila leluhur bangsa marga timurnya.
Suka diingatkan bahawa apabila menulis tentang harga dan makna kemerdekaan negara bangsa, penulis wajar menghormati peradaban dan nilai budi akar warisannya agar merdeka yang diungkapkan tidak melalaikan jati dirinya yang sebenar. Penulis juga tidak perlu menulis peribahasa, “BIAR MATI ANAK JANGAN MATI ADAT” dalam huruf besar kerana ia tidak memberi makna yang tegas seperti yang cuba digambarkan penulis. Peribahasa bukanlah nama khas, melainkan sebuah ungkapan berkias daripada ketinggian budi leluhur bangsa.
Terakhirnya, sajak “Tuah Ibu Pertiwiku” oleh Masnini Yani Shukri, sebuah sajak yang bertemakan kemerdekaan negeri. Pada awal rangkap sajak ini, penulis bercerita tentang kemajuan dan kemakmuran negeri kelahirannya, Sarawak, selepas bebas daripada penjajahan. Misalnya;
Sarawak Ibu Pertiwi tempat aku dilahirkan,
Melihat dunia yang penuh kemahsyuran,
Namun, aku sedari bebasnya hari ini
hasil perjuangan di masa silam,
Atma kesatria tergadai
bukti renjana tersemai.
1963 tahun yang keramat,
Engkau dibebaskan kembali dalam dakapan,
Dihiasi kemodenan di pelusuk
kota marcapada,
Menjulang kemajuan Sarawak
gah merdeka maju dan makmur.
(Sajak “Tuah Ibu Pertiwiku”)
Manakala dalam rangkap-rangkap selanjutnya, penulis lanjut bercerita tentang permuafakatan rakyat dan pemimpin negeri dalam membangun dan memperkukuh kestabilan negeri yang telah dipertahankan kemerdekaannya tanpa curiga. Misalnya;
… .
Kita bersatu dengan semangat yang jitu,
Mengharapkan keharmonian
yang mahsyur selalu,
Perbezaan antara kita
bukanlah ukur penentu,
Namun, hati yang bersatu
menjanjikan kebaikan beribu.
Bangsa bersatu perjuangan yang padu,
Bumi Sarawak terus maju mengharungi liku,
Pembangunan pesat menongkah arus pemodenan,
Arifnya pemimpin bertonggakan keimanan dan
sumpah dilafazkan.
(Sajak “Tuah Ibu Pertiwiku”)
Manakala pada rangkap akhir rangkap sajak, penulis menyatakan rasa bangga terhadap kemerdekaan negerinya. Penulis juga belajar untuk memahami makna pengorbanan, ketaatan dan kesetiaan terhadap negerinya hingga mengakui bahawa dirinyalah kini pejuang generasi tanah airnya. Misalnya;
Aku bangga dengan ibu pertiwiku,
Kendatipun aku bukan pejuang merdeka,
Namun di sini aku diajar erti berkorban,
Diajar juga erti ketaatan,
Juga diajar ertinya kesetiaan,
Demi tanah airku yang maju dan makmur,
Akulah pejuang generasi tanah airku.
Bentuk sajak ini juga bebas dan dibina daripada tujuh rangkap yang agak panjang. Gaya bahasa sajak ini bersahaja, dan penulis perlu banyak membaca sajak penulis mapan lain agar penulis lebih memahami hakikat sifat sajak yang tuntas. Pemilihan kata dalam sajak agak langsung dan mudah difahami. Dalam sajak ini, penulis langsung pada sebuah pernyataan tentang negerinya yang bebas merdeka dan telah berjaya mencapai kemakmuran yang total. Penulis boleh memerikan sesuatu yang jauh lebih serius jika penulis bersedia menyelongkar lebih tentang sejarah, cabaran dan tuntutan masa depan yang bakal dilalui negara yang mungkin sudah mula dialpakan oleh generasi baharu. Tanggapan jangka panjang penulis boleh diungkapkan dengan lebih konklusif dan impresif dengan melihat ke dasar permasalahan semasa dan cabaran era baharu dalam negara dan dunia masa kini.
Seperti sajak yang sebelumnya, penulis sajak ini juga mempunyai menghadapi kekangan dalam penguasaan kosa kata. Terdapat beberapa pengulangan kata yang sama dengan bukan tujuan penegasan. Oleh itu, disarankan penulis rajin membaca agar percambahan kosa kata dan pengetahuan dalam membahas sesuatu persoalan akan memperkembangkan kematangan berkarya penulis dari semasa ke semasa. Menurut Remco Campert, penyair Belanda;
“Menulis puisi bukan sekadar merangkai kata. Di dalamnya ada sejumlah pengalaman yang diluahkan. Oleh itu, penyair harus memberikan perhatian serius tentang bagaimana kata dapat membangun makna dalam larik demi larik puisi yang ditulisnya.”
Rumusnya, ketiga-tiga buah sajak yang diperkatakan tadi tetap mempunyai kekuatan kendiri apabila diukur dari tempoh pengalaman penulisnya. Semoga para penulis muda ini akan lebih proaktif dengan hasil sajak yang mempraktik sepenuhnya daya cipta yang logistik dan holistik dalam menulis sajak.
Oleh itu, bakat dan minat Niniefadzillea Iswandi, Wan L.S @ Wan Mahala Wan Ini dan Masnini Yani Shukri dalam genre sajak ini wajar diberi ruang dan peluang yang lebih khusus dan fokus. Masing-masing berminat dan berkebolehan dalam memperlihatkan nilai penulisannya dengan cukup baik. Cuma mereka harus lebih memahami kredibiliti menulis sajak agar olahannya kelak lebih mengalir dan berjiwa. Mudah-mudahan sikap positif teguh menjejaki diri ke jalan kritik yang lebih membina dan terbuka. Syabas dan sukses, selalu!