MENULIS sajak merupakan salah satu wadah luahan diri penyajak. Sajak ditulis hasil daripada perasaan dan fikiran penyajak yang bersipongang dalam diri yang gelisah dan berontak terha- dap sesuatu yang mengganggu intuisinya. Seperti kata Sastera- wan Negara Datuk A. Samad Said;
“Menulis adalah resah yang membahagiakan.”
Demi sebuah ketenteraman peribadi, penyajak berusaha gigih untuk menulis sajak yang ingin dihasilkannya. Dengan demikian, barulah penyajak dapat memperoleh keteduhan dalam dirinya. Justeru pertempuran hati penyajak terhadap sesuatu tema yang ingin dibicarakan atau dipersoalkan dalam sajak merupakan suatu hal yang sangat mendera dalam diri penyajak.
Namun demikian, dominasi dan kolaborasi antara idea dan pera-saan wajar seimbang agar karya kreatif yang dihasilkan mampu mencapai nilai komunikasi yang tuntas.
Oleh itu, setiap penyajak perlu faham bahawa menulis sajak itu lebih sukar berbanding menulis esei ataupun laporan berita yang cuma mengutamakan fakta-fakta tertentu sahaja.
Justeru, ketika menulis sajak, apa yang ditulis ialah pemikiran dan inspirasi yang sulit dinyata- kan tanpa kemelut keindahan seni aksaranya.
Sesungguhnya, sajak merupa- kan sebuah karya sastera yang penuh dengan keindahan bahasa. Secara umumnya, terdapat tiga proses agar sajak dapat dinikmati, iaitu semasa proses penciptaan, penulisan dan pengolahan oleh penyajak. Ketiga-tiga proses tersebut perlu difahami oleh penyajak dengan sebaik-baiknya agar karya yang ditulis mampu mencapai kualiti yang diperlukan. Kemahiran dalam ketiga-tiga proses tersebut tidaklah dapat dicapai menerusi karya pertama dan kedua tetapi dengan kecenderungan berkarya dengan bersungguh-sungguh.
Sememangnya kemahiran dalam sesuatu bidang tidak dicapai dalam tempoh masa yang singkat.
Oleh itu, syabas kepada penyajak muda seperti Dayangku Aisah Awg. Taha, Sheril Aida Sulainan dan Ct-Aminah Azman kerana sajak mereka telah disiarkan untuk kesekian kalinya dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), akhbar Utusan Sarawak pada hari Khamis yang lepas. Mudah-mudahan pencapaian mereka diteruskan sampai mencapai ke wadah yang lebih primer tahapnya.
Ketiga-tiga buah sajak yang disiarkan tersebut mempunyai tema yang terkait dengan pe- ngalaman diri yang manusiawi. Mudah-mudahan nilai perasaan dan pemikiran yang dinukilkan tersebut berupaya menyatakan sesuatu yang berjiwa kepada pembacanya.
Sajak Sinar Bahagia oleh Dayangku Aisah Awg. Taha bertemakan dunia persahabatan penyajak yang berhujung per- pisahan. Sajak ini diungkapkan dengan naratif pengalaman penyajak terhadap sahabatnya. Misalnya dalam rangkap berikut;
Mekar di dalam ingatan
suatu kedukaan yang
memeritkan
tatkala satu nikmat hilang
tanpa pesan
seakan diri hilang arah tujuan.
(rangkap 1, sajak
‘Sinar Bahagia’)
Menerusi rangkap berikutnya, penyajak masih larut bercerita tentang proses kesedihan hatinya yang ingin bertabah terhadap apa yang terjadi. Misalnya;
Rasa putus asa menerjah
fikiran
resah dan lesu meneruskan
kehidupan
sang bayu berhembus
membawa perkhabaran
memberi isyarat meneruskan
perjalanan
(rangkap 2, sajak
‘Sinar Bahagia’)
Sesungguhnya sajak ini merupakan proses hati penyajak dalam berkarya bagi meluahkan apa yang sedang bertempur dalam dirinya. Sekalipun dalam rangkap akhir sajak, penyajak cuba menggambarkan suatu yang positif dalam kemelut diri- nya, iaitu;
Hadir teman sentiasa bersama
biarpun tanpa madah bicara
menuntun diri tatkala gelita
menjadi mata di kala bersama
untuk mengecapi sinar
bahagia.
(rangkap 3, sajak
‘Sinar Bahagia’)
Sajak ini berbentuk separuh bebas kerana terdapat keterikatan pengulangan pada rima akhir yang hampir menyerupai syair. Walau bagaimanapun sajak ini bersifat sederhana bagi mengungkapkan tema dan persoalannya.
Gaya bahasa sajak ini biasa. Pemilihan dan penyusunan kata dalam sajak mudah difahami. Penyajak perlu lebih cenderung menggunakan unsur-unsur persajakan seperti metafora, perlambangan, personifikasi dan lain-lain bagi memerikan nilai keindahan dalam sajaknya.
Oleh itu, disarankan agar penyajak rajin membaca sajak- sajak mapan yang ada bagi me- mahirkan lagi proses penulisan- nya.
Penyajak masih perlu seimbang dalam pemilihan imejan yang sesuai dan tidak bercampur. Mohon penyajak meneliti semula pemilihan kata bergaris dalam berikut:
Mekar di dalam ingatan
suatu kedukaan yang
memeritkan
tatkala satu nikmat hilang
tanpa pesan
seakan diri hilang arah tujuan.
Dalam rangkap tersebut, jelas beberapa larik sajak perlu diolah semula bagi menyempurnakan kesesuaian imejan secara teknikal dan lebih berjiwa. Kata “mekar” tidak sesuai dijalinkan dengan kata “memeritkan”. Mekar membayangkan suasana yang indah, maka apabila dikaitkan dengan suasana “memeritkan” terasa janggal atau kurang sesuai. Penggunaan kata sendi “di” dalam larik tersebut juga perlu digugurkan kerana tidak perlu. Manakala kata “hilang” yang digunakan sebanyak dua kali telah menggambarkan penguasaan kosa kata penyajak yang kurang kaya.
Maka, kredibiliti penyajak terjejas kerana selaku penulis, perlu kaya kosa kata dalam perbendaharaan peribadinya. Sekadar saranan, rangkap tersebut ditulis begini:
Pedih dalam ingatan
suatu kedukaan yang
memeritkan
tatkala nikmat hilang tanpa
pesan
seakan diri tanpa arah tujuan.
Waima apa pun, keseluruhan isi sajak masih terampil dalam membicarakan soal persahabatan yang diluahkan oleh penyajak.
Malah, olahan sajak tidaklah terlalu emosional kerana pe- rasaan yang ada dalam sajak masih terkawal dan diungkap dengan cukup sederhana.
Penyajak mempunyai kematangan dalam menyuarakan gagasan dan perasaannya kerana terdapat nilai-nilai positif yang dikesan dalam ungkapan sajak berbaur sedih tersebut.
Sajak Sahabatku oleh Sheril Aida Sulainan juga bertemakan persahabatan.
Pada keseluruhan sajak ini, penyajak membicarakan dunia persahabatan yang saling menginspirasi.
Misalnya;
Ketika mindaku
Diselubungi kabut hitam
Purnamamu hadir
Mencerahi jiwaku
Di saat gelupurku
Tangan kau hulur
Membawaku
Ke daerah penuh berkah.
(rangkap 1-2,
Sajak ‘Sahabatku’)
Menerusi rangkap akhir sajak, penyajak berharap agar persaha- batan mereka kekal sampai ke syurga. Misalnya;
Hadirmu
Umpama buruj
Menuntun
Arah pelayaranku
Mengharung kehidupan
Moga berjejak kasih
Di Taman Firdausi
(rangkap 5, sajak ‘Sahabatku’)
Sajak ini berbentuk bebas dan menepati kriteria puisi moden. Tiada keterikatan pada rima, dan dibina daripada lima buah rangkap yang cukup sederhana. Gaya bahasa sajak bersahaja.
Pemilihan kata dalam sajak mudah difahami walaupun ada kecenderungan penyajak menggunakan elemen simile, perlambangan, metafora dan seumpa- manya.
Waima apa pun, masih terdapat beberapa baris sajak yang perlu diberikan perhatian semula agar kesan penyampaian dapat diungkap dengan lebih terampil dan indah.
Misalnya dalam kata bergaris berikut;
Ketika mindaku
Diselubungi kabut hitam
Purnamamu hadir
Mencerahi jiwaku
Di saat gelupurku
Tangan kau hulur
Membawaku
Ke daerah penuh berkah
Kau
Ibarat kepompong
Akulah
Laksana sang beluncas
Yang akhirnya rama-rama
Sebagai saranan, rangkap
sajak tersebut diubah begini;
Ketika mindaku
diselubungi kabut malam
purnamamu hadir
menyinari jiwaku.
Pada saat gelandanganku
tangan kauhulurkan
membawaku ke daerah
berkah.
Kau ibarat kepompong
akulah sang beluncas
yang akhirnya bertukar
rama-rama.
Saranan di atas bukanlah suatu ketetapan yang mutlak, penyajak berhak untuk tidak akur kerana apa yang disarankan adalah untuk memurnikan pe- milihan kata dan perlambangan yang lebih sesuai dan kemas pemaknaannya.
Justeru apabila dibaca berkali-kali, larik sajaknya seperti kurang melengkapi makna sajak secara tuntas.
Semoga penyajak ambil peduli tentang saranan ini kerana sajak yang kurang kemas dalam pe- milihan dan susunan kata, tidak akan menyeluruh pemaknaan sajaknya.
Terakhirnya, sajak Potret Yang Tercalar oleh Ct-Aminah Azman, sebuah sajak yang bertemakan hubungan yang manusiawi.
Pada awal rangkap sajak ini, penyajak menyatakan rasa kecewa yang diluahkan melalui sebuah lakaran potret.
Misalnya;
kulakarkan
gambaran duka
pada sebuah potret
singkap rasa
jiwa kepedihan.
(rangkap 1, Sajak
‘Potret Yang Tercalar’)
Manakala dalam dua rangkap selanjutnya pula, penyajak menggambarkan perasaan luka yang diatasi dengan memerikan ke- teduhan dalam jiwanya yang ralit dengan karya seni lukisnya.
Misalnya:
detik ini
jalur-jalur goresan
pada kanvas luka
kubiarkan teduh
dalam pujuk asmara
pudar kian kenangan
tertirai debu silam
kelubungi duka
biar sirna akhirnya.
(rangkap 2-3, Sajak
‘Potret Yang Tercalar’)
Dalam rangkap akhir sajak pula, penyajak memohon maaf atas ketidaksempurnaan kepada kekasihnya. Misalnya;
Maafkanku
kerana tak mampu
hadirkan kesempurnaan
buat dirimu.
(rangkap 5, Sajak
‘Potret Yang Tercalar’)
Bentuk sajak ini juga bebas dan terbina daripada lima buah rangkap yang cukup sederhana untuk menyampaikan makna keseluruhan sajak. Gaya bahasa sajak biasa.
Pemilihan kata pun mudah difahami walaupun ada kecende- rungan penyajak untuk memanfaatkan pemanipulasian kata lewat penceritaan sebuah lakaran potret dalam sajak ini. Syabas, suatu pendekatan olahan yang menarik.
Cuma, olahan sajak ini akan lebih menarik dan segar sekira- nya penyajak dapat mengguna- kan bahasa lukisan dengan lebih menyeluruh agar nilai keindahan sajak lebih menyerlah apabila dibaca.
Persoalan yang ditampilkan pun akan mempunyai jalinan kesinambungan yang lebih jelas dan kemas. Sekadar saranan, sila perhatikan kata-kata yang bergaris berikut;
Kulakarkan
gambaran duka
pada sebuah potret
singkap rasa
lara jiwa.
Detik ini
jalur-jalur goresan
pada kanvas luka
kubiarkan pastel
dalam bujuk rindu.
Biarkan segalanya
menjadi catan lukisan
paparan rena cinta
sepasang kita.
Maafkan aku
tak mampu
teksturkan sempurna
mewarnai dirimu.
Rangkap ketiga sajak tidak diungkapkan kerana pemaknaan sajak dalam rangkap tersebut sepertinya kurang tuntas apabila dikaitkan dengan rangkap sebelum dan selepasnya.
Jika rangkap tersebut masih perlu dimasukkan, penyajak perlu memurnikan olahan dalam rangkap tersebut.
Selepas membaca ketiga-tiga buah sajak tersebut, ternyata masing-masing penyajak mempunyai tamsilan hati yang tersendiri walaupun menyentuh tema yang sama.
Mereka mempunyai potensi untuk menjadi penyajak yang berwibawa, kerana dalam sajak pada kali ini mereka telah berupaya menampilkan kematangan dalam mengolah sajak masing-masing.
Malah, bahasa sajak mereka juga kurang lewah dan penyelesaian persoalan sajak pun mengarah positif.
Semoga para penyajak muda ini akan lebih versatil dengan hasil sajak yang ingin diolahnya dengan memanfaatkan sepenuhnya makna kata dan gaya bahasa yang menyeluruh dalam menulis sajak agar jiwa mereka terasa lebih malar segar menjalar.
Oleh itu, bakat dan minat Dayangku Aisah Awg. Taha, Sheril Aida Sulainan dan Ct-Aminah Azman dalam genre sajak ini wajar diberi ruang dan peluang yang lebih berkaliber.
Semoga sedikit pengalaman dan saranan telah memberikan harapan dan semangat buat mereka yang memiliki impian menjadi penyajak mapan.
Menulis itu sebenarnya tidak terlalu susah dan sederhana pendekatannya. Tapi, yang rumit dan sulit itu ialah pemaknaan jiwa dalam berkarya.
Mudah-mudahan sikap positif teguh menjejaki diri ke jalan kritik yang lebih membina dan terbuka. Syabas dan sukses, selalu!
Oleh ROSANI HIPLEE