TOKYO: Saintis Vietnam, Prof Dr Tran Dang Xuan dan rakan-rakannya di Universiti Hiroshima, Jepun telah menemui agen antikanser dalam sekam padi.
Penyelidikan bertajuk ‘Mekanisme Sitotoksik Momilactones A dan B terhadap Leukemia Promyelocytic Akut dan Multiple Myeloma Cell Lines diterbitkan dalam majalah Cancers pada Oktober tahun ini, menurut agensi berita Vietnam (VNA).
Ini adalah kajian pertama yang menjelaskan mekanisme sitotoksik Momilactones A (MA) dan Momilactones B (MB) pada leukemia promyelocytic akut (APL) HL-60 dan pelbagai sel U266 myeloma (MM).
Selain itu, sebatian ini boleh menyebabkan penghentian fasa G2 dalam kitaran sel HL-60 melalui pengaktifan p-38 dan gangguan kompleks CDK1 dan cyclin B1, katanya.
Penemuan ini memberikan pandangan baharu mengenai sifat antikanser Momilactone, yang boleh menjadi premis untuk kajian masa depan dan pembangunan ubat antikanser berasaskan Momilactone.
Menurut VNA, Makmal Fisiologi Tumbuhan dan Biokimia di Universiti Hiroshima yang diketuai oleh Xuan adalah antara beberapa makmal di dunia yang boleh menulenkan lagi Momilactones daripada sumber semulajadi seperti beras.
Dalam kajian pada 2019, kumpulan itu menemui dan berjaya mengekstrak 600 mg MA dan MB daripada 30kg sekam padi.
Saintis itu berkata, banyak syarikat farmaseutikal di dalam dan di luar Jepun sedang bekerjasama dengan pasukannya untuk mengekstrak MA dan MB bagi membangunkan ubat-ubatan untuk meningkatkan sistem imun, ubat-ubatan antikanser, untuk merawat diabetes dan kosmetik.
– BERNAMA