
Gambar hiasan - Foto AFP
PARIS: Sekumpulan ahli astronomi mengumumkan penemuan sebuah planet gergasi yang mengorbit sebuah bintang kecil, satu gabungan yang ganjil dan membingungkan saintis.
Majoriti bintang di galaksi Bima Sakti terdiri daripada bintang kerdil merah seperti TOI-6894, yang hanya mempunyai 20 peratus jisim matahari.
Sebelum ini, penyelidik tidak menyangka bahawa bintang sekecil dan selemah itu mampu menyediakan keadaan yang membolehkan pembentukan dan kewujudan planet bersaiz besar.
Namun, sepasukan ahli astronomi antarabangsa mengesan isyarat jelas kewujudan sebuah planet gergasi gas yang mengorbit TOI-6894, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Astronomy.
Penemuan itu menjadikan TOI-6894 sebagai bintang terkecil yang diketahui setakat ini mempunyai planet gergasi gas.
Planet itu mempunyai radius sedikit lebih besar daripada Zuhal, namun jisimnya hanyalah separuh daripada planet itu dan mengorbit bintangnya dalam tempoh lebih daripada tiga hari.
Penemuan itu dibuat selepas ahli astronomi meneliti lebih 91,000 bintang kerdil merah berjisim rendah yang diperhatikan oleh teleskop angkasa TESS milik NASA.
Kewujudan planet itu kemudiannya disahkan melalui teleskop darat, termasuk Teleskop Terbesar di Chile.
Pengarang bersama kajian itu, Daniel Bayliss dari Universiti Warwick, United Kingdom (UK) dalam satu kenyataan berkata, hakikatnya bintang itu menjadi tuan rumah planet gergasi yang mempunyai kesan besar untuk jumlah planet gergasi yang dianggarkan wujud di galaksi ini.
Seorang lagi pengarang bersama, Vincent Van Eylen, dari University College London, berkata, ia adalah penemuan yang menarik.
“Kami tidak begitu memahami bagaimana bintang dengan jisim yang sangat kecil boleh membentuk planet yang begitu besar.
“Inilah antara matlamat utama pencarian eksoplanet. Dengan menemui sistem planet yang berbeza daripada sistem suria kita, kita dapat menguji model-model sedia ada dan memahami dengan lebih mendalam bagaimana sistem suria itu sendiri terbentuk,” katanya. – AFP