WELLINGTON: Sepasukan saintis New Zealand hari ini membedah ikan paus yang dianggap paling jarang ditemui dunia, dengan hanya tujuh spesimen pernah didokumentasikan.
Spesies ‘spade-toothed whale’ itu ditemui mati terdampar di Pulau Selatan New Zealand awal tahun ini, menawarkan peluang untuk mengkaji mamalia laut dalam yang tidak pernah dilihat hidup-hidup.
Paus berukuran lima meter itu diangkat dari pantai pada Julai lalu dan disimpan dalam peti sejuk khas.
Pakar paus, Anton van Helden, berkata ia kali pertama saintis dapat melakukan pembedahan terhadap spesimen paus bertaring ”yang lengkap, tergolong dalam keluarga paus berparuh.
“Ini adalah peluang yang luar biasa dan penting secara global,” katanya.
Pembedahan yang dijangka berlangsung selama seminggu ini akan membantu mengisi jurang pengetahuan mengenai tingkah laku paus berkenaan serta berkaitan diet mamalia itu serta anatomi asasnya.
“Paus berparuh adalah kumpulan mamalia besar yang paling misteri di planet ini.
“Ia jarang dilihat penyelam laut dalam dan jarang dilihat di laut,” yang menimbulkan cabaran sebenar untuk menyelidik haiwan marin ini.
Paus ini adalah yang sangat jarang ditemui, hanya tujuh spesimen yang diketahui di seluruh dunia dan ini adalah peluang pertama kami untuk melakukan pembedahan seperti ini,” katanya.
Spesies mamalia itu pertama kali dikesan pada 1874 melalui satu rahang bawah dan dua gigi yang dikumpulkan dari Kepulauan Chatham di pantai timur New Zealand.
Sampel itu, bersama dengan sisa-sisa rangka dua spesimen lain yang ditemui di New Zealand dan Chile, membolehkan saintis mengesahkan kewujudan spesies baharu ini.
Disebabkan begitu sedikit spesimen yang ditemui dan tiada hidupan itu ditemui hidup, paus ‘spade-toothed’ diklasifikasikan sebagai ‘data tidak mencukupi’ di bawah Sistem Klasifikasi Ancaman New Zealand. – AFP