Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Saintis Malaysia guna pepijat katil sebagai pembantu siasatan jenayah
  • RENCANA

Saintis Malaysia guna pepijat katil sebagai pembantu siasatan jenayah

Utusan Sarawak 5 hours ago
GAMBAR yang diambil pada 8 Oktober 2025 ini menunjukkan seekor pepijat katil yang mati di sebuah makmal Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, Pulau Pinang. Foto AFP

PULAU PINANG: Di bawah cahaya terang makmal, seorang pembantu penyelidik menghulurkan lengan dan perlahan-lahan membalikkan bekas bertutup jaring ke atas kulitnya, membiarkan sekumpulan pepijat katil merayap untuk menghisap darahnya — semuanya demi sains.

Lama dibenci sebagai perosak rumah yang menyebabkan kegatalan, serangga penghisap darah ini kini menunjukkan potensi yang lebih gelap dan menarik apabila saintis Malaysia mendapati ia boleh dijadikan sekutu tidak disangka dalam membantu menyelesaikan jenayah.

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) di utara Pulau Pinang mendapati pepijat katil tropika mampu menyimpan DNA manusia sehingga 45 hari selepas menghisap darah mangsa tanpa sedar.

GAMBAR menunjukkan seorang penyelidik membiarkan pepijat katil menghisap darah dari lengannya sebagai sebahagian daripada kajian saintifik di sebuah makmal Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, Pulau Pinang. Foto AFP

Penemuan itu menjadikan serangga kecil yang gemar bersembunyi di celah kepala katil, jahitan tilam dan sarung bantal ini sebagai sumber bukti yang berharga untuk mengenal pasti suspek di lokasi jenayah.

Hanya daripada setitik darah, penyiasat polis suatu hari nanti mungkin mampu menyusun profil penuh seorang penjenayah, jika pepijat tersebut ditemui di tempat kejadian.

Penganalisisan pepijat itu boleh mendedahkan jantina, warna mata, warna rambut dan warna kulit seseorang, jelas ahli entomologi Abdul Hafiz Ab Majid kepada AFP.

“Kami panggil pepijat katil ini ‘musuh dalam selimut’,” kata Hafiz, sambil menambah bahawa “mereka juga boleh menjadi perisik” yang membantu menyelesaikan kes jenayah.

PEMBUATAN PROFIL DNA

Di sebuah makmal yang tersorok di dalam Sekolah Sains Biologi USM, Hafiz dan penyelidik pasca kedoktoran Lim Li telah membelanjakan hampir lima tahun mengkaji pepijat katil tropika.

Serangga penghisap darah ini, cimex hemipterus, ialah spesies paling lazim ditemui di Malaysia dan rantau tropika.

PENYELIDIK mempamerkan ruam selepas membiarkan pepijat katil menghisap darah dari lengannya sebagai sebahagian daripada kajian saintifik di sebuah makmal Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, Pulau Pinang. Foto AFP

Pepijat itu dibela dalam bekas bawah bangku makmal, setiap satu dibalut plastik hitam bagi meniru persekitaran gelap yang menjadi habitat pilihan mereka.

“Kami letakkan kertas yang dilipat dalam bekas kecil supaya pepijat ini ada permukaan untuk memanjat,” jelas Hafiz.

Dengan suhu makmal dikekalkan antara 23°C hingga 24°C, pepijat berkenaan menghisap 1.5 hingga 5.3 mikroliter darah setiap kali makan “jumlah yang kurang daripada setitis,” katanya.

Penyelidik mendapati DNA manusia yang diekstrak daripada pepijat katil selepas makan mampu memberikan profil fenotip asas ciri fizikal boleh diperhatikan serta jantina sehingga 45 hari kemudian.

Dengan menggunakan penanda Ulangan Pendek Berturutan (STR) dan  single nucleotide polymorphism (SNP) urutan DNA khusus, penyelidik dapat menentukan jantina, warna mata, warna rambut dan warna kulit suspek, jauh selepas mereka meninggalkan lokasi kejadian.

AHLI entomologi Abdul Hafiz Ab Majid (kanan) bersama pasukannya memerhatikan telur pepijat katil di sebuah makmal Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, Pulau Pinang. Foto AFP

Kajian USM bertajuk ‘Pembuatan profil manusia melalui analisis STR dan SNP pada pepijat katil tropika, Cimex hemipterus’ diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports terbitan Nature dua tahun lalu.

Ia merupakan penggunaan forensik pertama yang didokumenkan melibatkan pepijat katil tropika.

‘ALAT’ FORENSIK YANG SEMPURNA

Tidak seperti nyamuk atau lalat, pepijat katil tidak boleh terbang, dan apabila sudah kekenyangan, ia “tidak dapat bergerak jauh”, kata Hafiz, sambil menjelaskan bahawa pepijat hanya boleh bergerak dalam lingkungan kira-kira 20 kaki (enam meter) dari lokasi ia menghisap darah.

“Itu yang menjadikannya unik. Kita boleh kata mereka sangat sesuai digunakan sebagai alat forensik berbanding nyamuk yang… boleh terbang jauh,” katanya.

Serangga ini juga berguna di tempat kejadian jenayah di mana cecair tubuh sengaja dipadam untuk menghapuskan bukti, kerana pepijat sering kekal bersembunyi di lokasi tersebut.

Di makmal, Lim tidak teragak-agak menunjukkan sesi pemakanan, malah berseloroh bahawa beliau adalah ‘mangsa rela’ demi sains.

“Saya biarkan mereka menghisap darah saya ketika ingin menguji berapa lama DNA manusia mengambil masa untuk terurai,” katanya.

PENYELIDIK pasca kedoktoran Lim Li menumbuk pepijat katil ke dalam sampel di sebuah makmal Universiti Sains Malaysia (USM) di George Town, Pulau Pinang. Foto AFP

Lim turut menegaskan bahawa pepijat ini ialah “makhluk yang disalah fahami” dan tidak membawa penyakit  meskipun gigitan mereka boleh menyebabkan ruam gatal selama berminggu-minggu.

“Mungkin kita boleh mendidik orang ramai bahawa pepijat katil sebenarnya bukan vektor penyakit. Jadi, walaupun anda digigit, mereka tidak boleh menjangkiti anda,” katanya.

Walaupun penyelidik membayangkan masa depan di mana pepijat kecil di tempat kejadian dapat membantu mengesan suspek pembunuhan, Hafiz mengingatkan bahawa serangga itu bukan penyelesaian ajaib.

Pepijat katil mempunyai batasnya terutama dalam menyelesaikan kes lama, kata Hafiz.

“Ia hanya memberi penyiasat tempoh 45 hari untuk menggunakan pepijat sebagai bukti dan itu pun hanya jika ia ditemui di lokasi kejadian,” jelasnya. – AFP

Continue Reading

Previous: Musim Monsun Timur Laut: Keadaan cuaca, bencana mungkin berlaku

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.