
KUCHING: Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) menerima Anugerah ASEAN Outstanding Corporation sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam pertumbuhan, inovasi dan kelestarian di rantau Sarawak-ASEAN.
Anugerah itu diberikan sempena Forum Perniagaan & Ekonomi ASEAN Sarawak 2025 dengan penyampaian oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang JohariTun Openg kepada Pengerusi SAINS, Datuk Dr. George Chan Hong Nam.
SAINS diiktiraf atas peranannya dalam memacu transformasi digital Sarawak menerusi penyelesaian inovatif dalam sektor keselamatan siber dan pembangunan infrastruktur.
Menurut Dr. George, pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan SAINS dalam pertumbuhan teknologi dan inovasi.
“Anugerah ini menjadi bukti dedikasi pasukan SAINS serta inspirasi untuk terus menjadikan Sarawak sebagai peneraju ekonomi digital di ASEAN,” katanya.
SAINS terus komited dalam membangunkan teknologi maju yang menyokong pembangunan mampan serta memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
Syarikat itu juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan organisasi serantau bagi memastikan kemajuan digital Sarawak yang berdaya tahan dan berterusan.