Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Saingan Boeing, Airbus bukti kehebatan teknologi
  • KOLUMNIS

Saingan Boeing, Airbus bukti kehebatan teknologi

Utusan Sarawak 4 months ago
BOEING 747

DALAM industri pener­bangan, dua nama yang kerap dibandingkan adalah Boeing dan Airbus. Kedua-dua syarikat ini telah mencipta kapal terbang yang bukan sahaja ikonik, malah menjadikan perjalanan jarak jauh lebih selamat, pantas dan selesa.
Perlumbaan mencipta kemega­han tidak pernah terhenti apabila masing-masing membina kapal terbang jumbo, dua model yang paling menonjol ialah Boeing 747 dan Airbus A380.
Kedua-duanya mempunyai kehebatan tersendiri dan telah memberi impak besar kepada dunia penerbangan komersial.
Sejarah penerbangan men­yaksikan kehadiran Boeing 747 sebagai pemangkin revolusi dalam dunia penerbangan komer­sial.
Ia mula diperkenalkan pada 1969 dengan saiz yang memukau dunia pada ketika itu dengan pan­jang 70.6 meter dan lebar sayap 59.6 meter.
Boeing 747 direka untuk mem­bawa lebih ramai penumpang dalam satu perjalanan dan men­jadikan perjalanan udara lebih berpatutan.
Kejayaan penciptaan kapal terbang ini dapat dilihat dengan penjualan 1,570 unit membuktikan ia antara model paling berjaya dalam sejarah pen­erbangan.
Kemunculan Airbus A380 pula menandakan era baharu dalam industri penerbangan. Sebaik sahaja dilancarkan pada 2007, ia lantas mencatat rekod sebagai kapal terbang penumpang ter­besar di dunia dengan panjang 72.7 meter dan lebar sayap 79.8 meter.
Berbeza dengan tujuan Boeing 747, Airbus A380 dihasilkan untuk menangani kesesakan di lapan­gan terbang utama dengan mem­bawa lebih ramai penumpang dalam satu penerbangan.
Namun, ia tidak dapat menyaingi penjual­an Boeing 747 kerana hanya 251 unit sempat dibina sebelum pro­duksinya dihentikan pada 2021 disebabkan permintaan yang semakin kurang terhadap kapal terbang bersaiz besar dengan empat enjin.
Keupayaan Airbus A380 dalam menampung jumlah penumpang tidak dapat ditandingi. Jika dis­usun sepenuhnya dengan tem­pat duduk kelas ekonomi, kapal terbang ini boleh membawa seh­ingga 853 penumpang.
Dalam konfigurasi biasa tiga kelas, ia boleh menampung antara 500 hingga 600 pen­umpang. Syarikat penerbangan Emirates yang memiliki jumlah kapal terbang A380 terbanyak menggunakan konfigurasi 519 penumpang dengan menawar­kan pengalaman penerbangan yang lebih mewah.
Sebaliknya, Boeing 747 dalam konfigurasi tiga kelas biasanya mampu menampung sekitar 400 hingga 500 penumpang. Model terkini Boeing 747-8 mampu untuk membawa sehingga 467 penumpang.
Kebolehan terbang jauh mer­upakan kelebihan utama kedua-dua kapal terbang ini. Boeing 747-8 memiliki kemampuan untuk terbang dengan jarak penerbangan maksimum sejauh 14,320 km manakala Airbus A380 sedikit lebih jauh dengan 14,800 km.
Hal ini menjadikan kedua-duanya pilihan utama untuk laluan antara benua sep­erti Los Angeles ke Sydney atau Dubai ke New York.
Aspek kecekapan bahan api turut menjadi faktor penentu dalam industri penerbangan moden. Airbus A380 dilapor­kan menggunakan sekitar tiga liter bahan api bagi setiap 100 penumpang setiap kilometer, menjadi- kannya lebih cekap berbanding
Boeing 747-8 yang memerlu­kan sekitar 3.5 liter bagi setiap 100 penumpang setiap kilome­ter. Walaupun perbezaan dilihat mungkin kecil, tetapi dalam skala operasi penerbangan, penjimatan bahan api yang lebih baik memberikan kelebihan kepada syarikat penerbangan dari segi kos operasi.
Selain berfungsi sebagai kapal terbang penumpang, Boeing 747 turut digunakan dalam sektor kargo. Model seperti Boeing 747-8F mampu membawa hing­ga 134 tan kargo, menjadikan ia pilihan utama bagi syarikat pengangkutan seperti UPS dan FedEx.
Fleksibiliti Boeing 747 dalam beroperasi sebagai kapal ter­bang kargo menjadikannya aset yang tidak ternilai, terutama dalam situasi kecemasan global seperti pandemik COVID-19 apabila permintaan untuk pener­bangan kargo meningkat secara mendadak.
Sebaliknya, Airbus A380 hanya direka sebagai kapal terbang penumpang. Walaupun terdapat cadangan untuk menjadikannya kapal terbang kargo, idea tersebut tidak pernah direal­isasikan sepenuhnya.
Selain itu, salah satu kelemah­an utama A380 adalah ia hanya boleh mendarat di lapangan terbang yang telah diubah suai dengan infrastruktur sesuai untuk menampung saiznya yang luar biasa.
Landasan perlu lebih panjang, pintu masuk terminal perlu lebih besar dan sistem pengendalian bagasi serta penyelenggaraan juga perlu dinaik taraf.
Akibatnya, banyak lapangan terbang di dunia tidak dapat menerima A380 tanpa pelaburan besar dalam infrastruktur.
Perubahan dalam permintaan pasaran telah memberi kesan besar kepada kelangsungan kedua-dua kapal terbang ini. Industri penerbangan moden kini lebih menumpukan kepada kapal terbang lebih kecil, lebih cekap dan lebih mesra alam bagi mengurangkan kos operasi dan kesan karbon seperti Boeing 787 Dreamliner atau Airbus A350.
Pengeluaran Boeing 747 secara rasmi dihentikan dengan penghantaran unit terakhir pada 2022. Walau­pun produksinya telah berakhir, model ini masih digunakan secara meluas dalam sektor kargo dan dalam perkhidmatan beberapa syarikat penerbangan seperti Lufthansa dan Korean Air.
Warisan Boeing 747 sebagai Queen of the Skies akan terus diingati sebagai kapal terbang yang merevolusikan industri penerbangan.
Cabaran lebih besar menanti Airbus A380. Walau­pun ia merupakan pencapaian kejuruteraan yang menakjubkan, permintaan terhadap kapal terbang empat enjin yang besar semakin menurun.
Walaupun produksinya dihentikan pada 2021, Airbus A380 masih beroperasi dalam laluan sibuk seperti Dubai-London dan Singapura-Sydney.
Legasi kedua-dua kapal terbang ini akan terus hidup dalam sejarah penerbangan. Walaupun zaman kegem­ilangan mereka mungkin berakhir, kehadiran mereka dalam dunia penerbangan akan tetap dikenang sebagai bukti kehebatan teknologi dan visi manusia dalam menghubungkan dunia melalui udara.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Kejadian banjir awal tahun
Next: AirBorneo membuka keterhubungan lebih meluas

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.